Cari:
Rundingan RCEP Bergerak ke Depan
2016-12-12 15:50:24 CRI Cetak

Pusingan ke-16 rundingan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang berlangsung selama lima hari di Tangerang, Indonesia berakhir Sabtu lalu.

Setelah selesai membincangkan perkara-perkara mengenai Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), wakil 16 negara yang terlibat bersetuju untuk meneruskan sinergi agar rundingan berkenaan dapat dimuktamadkan menjelang akhir 2017.

RCEP yang merupakan cadangan perjanjian perdagangan bebas (FTA), melibatkan 10 anggota ASEAN serta enam rakan perdagangannya iaitu China, Jepun, Korea Selatan, Australia, New Zealand dan India.

Dalam rundingan di Indonesia, para peserta mengimbas kembali hasil mesyuarat peringkat menteri RCEP yang diadakan di Cebu, Filipina pada November lalu, di samping bersepakat untuk mempercepat rundingan mengenai perdagangan barangan dan perkhidmatan serta pelaburan.

Akhbar Jakarta Post melaporkan, selain PKS dan kerjasama ekonomi dan teknikal, rundingan tentang dasar persaingan juga mencapai kemajuan yang penting. Manakala, perkara-perkara mengenai perdagangan barangan dan perkhidmatan, pelaburan, hak harta intelek dan pergerakan bebas pekerja teknikal masih dalam proses perbincangan. Rundingan RCEP pusingan seterusnya akan diadakan di Jepun pada Februari tahun depan.

Menteri Perdagangan Indonesia, Enggartiasto Lukita menyatakan bahawa memandangkan kebangkitan fahaman perlindungan perdagangan dan keadaan ketidaktentuan yang semakin meningkat, pihak-pihak terbabit perlu mempercepat rundingan berkenaan, di samping terus membuka pasaran.

Pengerusi Jawatankuasa Rundingan Perdagangan RCEP Indonesia, Iman Pambagyo pula berkata, rundingan pusingan ini menyasarkan untuk membentuk satu rangka kerja yang membantu meningkatkan rasa saling mempercayai antara pihak-pihak berkaitan sekali gus membolehkan mereka bersuara secara bebas supaya perjanjian berkenaan dapat dimuktamad seperti yang dijadualkan.

RCEP dilihat sebagai pilihan baik bagi negara-negara serantau untuk meningkatkan pemudahan pelaburan dan perdagangan selepas bakal presiden Donald Trump berikrar untuk mengeluarkan Amerika Syarikat daripada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP).

Penganalisis berpendapat, melalui usaha sama semua pihak, rundingan RCEP dijangka akan selesai lebih awal.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China