Presiden China, Xi Jinping telah berhubung dengan rakan sejawatnya dari Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menerusi telefon pagi tadi.
Xi Jinping berkata, kedua-dua negara telah mengekalkan komunikasi yang rapat dalam isu yang menarik perhatian bersama. Ini amat penting bagi perkembangan hubungan China-AS.
Menurut beliau, kedua-dua pihak harus melaksanakan kata sepakat yang dicapai antara pemimpin kedua-dua negara untuk meningkatkan dialog dan pertukaran, mendorong kerjasama dan interaksi dalam pelbagai bidang, menangani isu yang menjadi tumpuan bersama, serta mendorong perkembangan hubungan China-AS secara sihat dan mampan. Sementara itu, China mengambil berat terhadap lawatan rasmi yang bakal diadakan oleh Presiden Trump ke negara ini pada tahun ini.
Trump pula berkata, pertukaran pelbagai lapisan dan pelbagai bidang kedua-dua negara amat penting. Kini trend perkembangan hubungan AS-China adalah baik dan akan diintensifkan lagi.
Selain itu, pemimpin kedua-dua negara juga telah bertukar-tukar pandangan tentang situasi Semenanjung Korea.
Xi Jinping menegaskan bahawa China dan AS mempunyai kepentingan yang sama dalam mewujudkan Semenanjung Korea bebas daripada nuklear dan melindungi keamanan serta kestabilan situasi rantau ini. Oleh itu, beliau berkata penyelesaian masalah nuklear Semenanjung Korea masih memerlukan rundingan dan langkah politik. China bersedia terus mengekalkan interaksi dengan AS berdasarkan prinsip saling menghormati untuk bersama-sama mendorong isu tersebut diselesaikan dengan sempurna.
Trump pula berkata, pihaknya bersedia bersama-sama dengan China untuk terus mengekalkan hubungan yang rapat tentang isu antarabangsa dan serantau yang menarik perhatian kedua-dua pihak.