Cari:
Trump Arah Siasat Perdagangan China
2017-08-15 12:38:53 CRI Cetak

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump semalam memeterai perintah eksekutif yang memberi kuasa kepada wakil perdagangan AS (USTR), Robert Lighthizer menyiasat aktiviti perdagangan China yang dikatakan "tidak adil".

Siasatan berkenaan termasuk pendekatan China berkaitan hak harta intelek (IPR) seperti dalam bidang pemindahan teknologi, bagi menjamin "keadilan dan kesamarataan peraturan perdagangan". Tindakan sepihak AS itu dikhuatiri akan menjejaskan hubungan ekonomi antara China dan AS.

Menurut penganalisis, Lighthizer mungkin menerima pakai Seksyen 301 undang-undang perdagangan, yang diluluskan pada 1974, untuk menjalankan siasatan berkenaan. Seksyen yang jarang digunakan selepas penubuhan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) pada 1995 itu membolehkan Presiden AS mengenakan sekatan sepihak terhadap rakan dagang.

Bagaimanapun, pemeteraian perintah tersebut tidak bermakna AS akan segera memulakan siasatan dan mengenakan sekatan terhadap China. Pada 12 Ogos lalu, seorang pegawai kanan AS menyatakan bahawa kerajaan akan berunding dengan China terlebih dahulu sebelum memulakan siasatan.

Jurucakap Kementerian Luar China, Hua Chunying semalam menyatakan bahawa China dan AS berkongsi banyak kepentingan. Perang perdagangan akan merugikan semua pihak. China menggesa AS menilai secara objektif kemajuan China dalam perlindungan IPR dan pembangunan ekonomi melalui inovasi.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China