Cari:
Guilin, Tempat Yang Paling Bersih dan Indah di China
2009-03-06 16:57:57 CRI Cetak

Nama Guilin mungkin tidak sama terkenal seperti bandar metropolis lain di China, seperti Beijing dan Shanghai, namun, bandar Guilin dengan penduduknya kira-kira 5 juta orang ini sudah lama berkembang sebagai destinasi pelancongan utama di tanah besar China.

Keindahan bandar ini sudah lama menarik perhatian pengarah filem Barat. Pemandangan indah banjaran bukit batu kapur yang seakan-akan tersebar-sebar di seluruh wilayah ini pernah dijadikan latar utama dalam "The Painted Veil" dan pelbagai filem yang lain.

Landskap semula jadi yang unik yang terbentuk dengan bukit batu kapur, air sungai dan tasik yang jernih ini memberikan keistimewaan kepada Guilin. Bandar moden ini juga merupakan salah sebuah bandar terbersih di China.

Tarikan Dalam Bandar

Dua batang sungai utama, iaitu sungai Lijiang dan Sungai Taohua serta empat buah tasik, Shahu, Ronghu, Guihu dan Mulong di bandar Guilin ini, asalnya adalah terusan yang dibina pada zaman Dinasti Tang. Kini, semua ini menjadi tarikan utama di bandar ini.

Di Guilin, anda boleh mengikuti pakej pelancongan 2 sungai dan 4 tasik. Keindahan taman tasik yang disinari cahaya lampu kecil di sini boleh dinikmati pada malam hari. Dengan berlayar menyusuri tasik-tasik tersebut, anda akan melalui 19 buah jambatan, Pagoda Matahari dan Bulan yang setinggi 41 meter, dan dibina dengan tembaga, serta bangunan-bangunan kuno seperti Pintu Gerbang Selatan Kuno dan lain-lain.

Setiap sebuah daripada 19 buah jambatan tersebut, kelihatan dengan ciri masing-masing yang berbeza-beza. Misalnya, Jambatan Kristal, ia dibina sepenuhnya daripada kristal. Ia dikatakan sebagai satu-satunya jambatan kristal di China. Pada dinding jambatan tersebut juga terdapat kaligrafi puisi lama China.

Suatu agenda yang juga menarik adalah melihat persembahan opera dan persembahan muzik oleh warga emas di sekitar tebing tasik secara percuma. Persembahan ini telah berjaya menarik penonton daripada pelbagai lapisan usia.

Pada siang hari, kebanyakan pelancong tidak melepaskan peluang untuk bergambar di depan Bukit Belalai Gajah, bentuknya amat serupa dengan seekor gajah yang sedang minum dengan hujung belalainya terbenam di sungai. Bukit ini telah menjadi batu lambang pelancongan di bandar Guilin.

Bukit Fubo di Taman Fubo yang terletak tidak jauh dari situ pula mengandungi beberapa gua kecil termasuk Gua Pengembalian Mutiara yang panjangnya 128 meter, yang menempatkan pelbagai patung Buddha yang diukir dan loceng besi raksasa yang beratnya 2.5 tan, dari Zaman Dinasti Qing.

Gua Seruling Mensiang di Bukit Guangming, 7 kilometer dari Guilin pula mempunyai pelbagai rupa stalaktit dan stalagmit di lorong sepanjang 500 meter, termasuk bentuk air terjun tergantung, rupa singa dan pelbagai bentuk bunga.

Belayar di Sungai Li

Kunjungan ke Guilin bukan saja tidak lengkap malah boleh dikatakan tidak berbaloi jika tidak menyaksikan pemandangan banjaran batu kapur, lembah hijau dan aliran jernih sepanjang Sungai Li yang begitu indah.

Pelayaran dengan bot pada pagi bagi menyaksikan landskap ini sudah cukup membuat pelancong yang pertama kali datang ke sini jatuh hati.

Sepanjang perjalanan menyusuri sungai ini, pelancong juga dapat melihat keunikan cara penduduk kampung menangkap ikan dengan menggunakan helang penangkap ikan.

Helang penangkap ikan mampu menyelam jauh ke dasar sungai ini untuk memburu ikan dengan menggunakan paruhnya yang besar. Bagaimanapun, terlebih dahulu, pemiliknya akan mengikat leher burung itu dengan tali untuk memastikan ikan yang ditangkapnya tidak dimakan terus oleh burung itu.

Apabila naik kembali ke bot, tuan burung ini hanya perlu mengurut paruh burung untuk mengeluarkan ikan yang baru ditangkapnya. Pelayaran menyusuri Sungai Li ini memakan masa kira-kira dua jam setengah dan berakhir di Yangshuo.

Yangshuo

Bandar kecil ini turut memiliki pelbagai daya tarikan besar termasuk Jalan Barat, pusat komersial dengan jeti kecil yang menempatkan pelbagai kafe, restoran dan kedai cenderamata.

Sejarah bandar ini bertitik tolak daripada aktiviti perdagangan yang sudah menjangkau 1,500 tahun dan kini, ia menjadi tumpuan warga asing yang ingin mempelajari bahasa Mandarin.

Tidak jauh dari situ, Land of Peach Blossom juga mempunyai suasana perkampungan etnik dengan kincir air, tasik dan persembahan hiburan kaum minoriti.

Pelayaran di Sungai Li akan melewati Gua Mahkota yang memiliki anak sungai bawah tanah sepanjang 12 kilometer, dan mengalir ke Sungai Li. Bagaimanapun, untuk ke gua ini, pelancong perlu menaiki bas selama 40 minit dari Guilin.

Jangan terkejut jika diberitahu bahawa gua ini memiliki lif untuk naik ke tempat setinggi 12 tingkat. Kerana sudah lama dibangunkan sebagai destinasi pelancongan, gua ini juga dapat memberikan pengalaman untuk kita menaiki kereta bumper, kereta api dalam gua dan bot menyusuri sungai bawah tanah.

Di sini, pelancong jangan lupa mengakhiri kunjungan dengan menaiki kereta kabel untuk ke puncak Gunung Yao bagi melihat pemandangan yang indah bagi sebahagian besar bandar Guilin.

Taman Tema

Guilin Merryland merupakan taman tema terbesar di kawasan ini. Ia dibangunkan di atas tapak seluas kira-kira 90 hektar pada tahun 1997. Kawasannya meliputi taman tema berteknologi tinggi, hotel lima bintang dan kompleks padang golf.

Taman tema ini merangkumi lima bahagian utama, iaitu Merry Town, American Western, Dream World, Pirate Village, dan South Pacific. Setiap satunya mempunyai tema yang berbeza dan memberikan pengalaman yang berbeza juga kepada pengunjungnya.

Bahagian utama ini dipisahkan oleh Tasik Ling, iaitu tasik semula jadi yang menjadi legenda di kalangan penduduk tempatan. Tarikan utamanya termasuklah jambatan tradisional, pagoda dan persembahan koboi.

Tempat yang Mesti Dikunjungi

Bersandarkan filem "Kakak Liusan" yang diterbitkan pada tahun 1961, persembahan teater air semula jadi yang terbesar di dunia dengan tenaga kerja melebihi 600 orang diadakan pada bulan Mac tahun 2004. Itulah, Lambang Kakak Liusan.

Sejak itu, Lambang Kakak Liusan menjadi agenda wajib bagi pelancong yang datang ke Guilin. Persembahan ini terbahagi kepada tujuh segmen, dan ia memaparkan legenda dan keindahan Sungai Li menerusi persembahan cahaya dan bunyi dengan latar belakang pemandangan banjaran bukit batu kapur yang indah.

Persembahan teater air ini diarah oleh pengarah terkenal China, Zhang Yimou. Beliau turut mengubah suai tema mengikut empat musim, iaitu musim bunga, musim panas, musim gugur dan musim sejuk. Pelancong asing amat tertarik dan terkejut dengan persembahan ini.

Satu lagi pilihan adalah Persembahan Impian Sungai Li yang menghidangkan gabungan persembahan akrobatik, sarkas, balet, bunyi dan cahaya. Pengunjung pasti terpesona dengan aksi akrobatik, serta nyanyian dan tarian yang indah.

Diharap para pengunjung tidak lupa mengunjungi pusat beli-belah bawah tanah dan Pasar Hong Kong Kecil di Guilin. Pelancong boleh membeli-belah di pasar malam ini atau menyaksikan filem layar air Dunia Merryland, pada pukul 8.30 malam setiap hari.

Saudara pendengar, begitu banyak sudah diceritakan tentang Guilin yang indah ini. Tidakkah anda mahu segera pergi ke sana untuk menyaksikan pemandangan yang indah dan tradisi tempatan yang istimewa itu?

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Tasik Daming di Jinan

• Sawah Padi Berteres di Suichuan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China