Cari:
Pasar Besar, yang Sibuk di Bandar Kashi
2009-10-27 17:19:13 CRI Cetak

Selain daripada produk Xinjiang yang unik, barang-barang yang istimewa dari Pakistan, India dan Iran juga boleh didapati dengan banyaknya. Seorang peniaga tempatan, Encik Aitimaijiang, menjual pasu bunga selama 9 tahun di pasar Dongmen. Beliau selalu berurus niaga dengan peniaga dari Pakistan. Beliau sentiasa berpakaian kemas, begitu juga dengan kedainya yang sentiasa dijaga bersih kerana beliau berpendapat kecantikan dan kebersihan dapat memberi kesan pertama yang baik. Ini bermanfaat bagi beliau dalam urus niaga dengan pihak lain kerana mereka akan merasa senang dan mesra ketika masuk ke dalam kedai yang cantik dan bersih. Menjalani urusan perniagaan selama 9 tahun, menjadikan Aitimaijiang mendapat pengalaman yang berharga dalam selok belok perniagaan. Disebabkan urusan perniagaannya, beliau selalu berulang alik ke negara-negara di Asia Tengah dan pusat perdagangan di pelbagai bandar raya di China. Ini tidak menjadikan beliau lupa kepada kampung halamannya, Kashi yang sangat dicintainya. Beliau berkata, budaya etnik di Kashi sangat istimewa. Beberapa tahun kebelakangan ini, penduduk Kashi semakin bersikap terbuka dan kaya-raya. Mereka sedia berinteraksi dengan dunia luar dan mencapai hasil yang memuaskan.

Pasar di Kashi menjadi semakin sibuk pada Hari Ahad. Penduduk di bandar dan kaunti di sekitar akan beramai-ramai pergi ke pasar dengan memakai pakaian yang elok. Mereka menganggap membeli-belah di pasar sebagai suatu pesta riang gembira. Kebanjiran orang dalam pasar boleh mencapai 100 ribu orang. Tiada yang pasti mana yang lebih banyak, antara orang dengan produk dalam pasar.

Penduduk Kashi bersifat mesra, suka melayan tetamu dan terbuka. Mereka tidak boleh hidup tanpa pasar. Kata orang tempatan, jika tidak membeli-belah di pasar sepanjang minggu, mereka akan merasa tidak selesa seperti tidak makan daging kambing sepanjang minggu. Pasar dapat memenuhi semua keperluan, walaupun hanya untuk menengok-nengok tanpa membeli apa-apa.

Pasar Dongmen merupakan pasar perdagangan tradisional yang sudah tegak terdiri hampir 2,000 tahun lalu dan berkembang maju sehingga menjadi pasar yang sedia ada sekarang. Pada asalnya, petani dari kampung di sekitar membawa barang-barang pertaniannya ke kawasan itu untuk berjualan dengan hanya membentangkan sehelai tikar sebagai alas barangan jualan. Tetapi sekarang kedai-kedai yang mempunyai kemudahan yang baik sudah dibina dalam pasar tersebut. Lebih 6,000 orang peniaga persendirian berurus niaga di pasar ini.

Seiring dengan pertumbuhan ekonomi di Kashi, pasar Dongmen semakin terkenal dan lebih ramai pelancong tertarik untuk datang berkunjung bukan sahaja untuk membeli cenderamata dan hadiah kenang-kenangan, tetapi juga menghayati suasana meriah di Kashi.


1 2
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China