Cari:
Abdul Ghani Abu: Keajaiban Dunia Kesinambungan Tamadun
2011-11-11 08:40:43 CRI Cetak

Beijing – Kata orang tidak lengkap perjalanan ke Beijing, jika tidak mengunjungi ke dua tempat menarik dan bersejarah. Pertama, Kota Larangan, dan kedua, tembok keajaiban dunia, Tembok Besar China. Seawal lapan pagi penulis dan teman wartawan dari Malaysia dan Indonesia menikmati sarapan pagi di CRI Media Center. Masing-masing sudah teringat kampung halaman, sama ada di Jakarta atau di Bahau, Negeri Sembilan. Begitulah adatnya merantau, hati di kampung, tubuh sahaja di perantauan!


Di Kota Larangan

Destinasi pertama ialah Kota Larangan. Sebelum itu, dalam perjalanan menuju kota tersebut, penulis dan rombongan bergambar di hadapan Panggung Teater Kebangsaan yang reka bentuknya seperti telur burung. Jika stadium baharu yang dibina sempena Sukan Olimpik 2008 berbentuk sarang burung, nah, panggung ini berbentuk telur burung. Sungguh unik bentuknya. Maka teringat penulis semasa berada di Lapangan Terbang Urumqi sewaktu transit dari Beijing hendak ke Kashgar. Penulis terjumpa satu buku kopi meja tentang reka bentuk bangunan-bangunan di China yang sungguh menakjubkan. Harganya juga lumayan, 1680 Yuan! Tetapi begitulah yang penulis perhatikan sepanjang perjalanan dalam bas, reka bentuk bangunan di Beijing ada yang unik dan menarik perhatian.

Di sini, penulis membeli topi kebanggaan rakyat China sebagai kenang-kenangan, jika di Silk Street harganya 20 Yuan, peniaga berbasikal di sini menjualnya 10 Yuan sahaja! Penulis juga bersama-sama Fuad daripada Karangkraf membeli bendera China dengan harga 1 Yuan.

Memasuki Dataran Tiannamen, keselamatan dikawal ketat. Kelihatan polis dan tentera yang bertugas. Beg galas penulis juga diperiksa melalui mesin imbasan. Pastinya tempat awam yang dikunjungi pengunjung tempatan dan luar negara yang jumlahnya mencecah puluhan ribu setiap hari memerlukan kawasalan keselamatan yang menyeluruh.


Di hadapan Dataran Tiannamen

Penulis rasa bangga kerana sebelum ini hanya melihat melalui televisyen atau membaca di akhbar, majalah atau internet, kini Dataran Tiannamen di hadapan mata. Kelu lidah seketika tidak terkata.

Melewati beberapa meter, terletaknya Kota Larangan. Huh! Sungguh menakjubkan! Maka benarlah kegemilangan tamadun China dari dinasti ke dinasti. Laluan sejauh lebih kurang empat kilometer ditempuh tanpa rasa penat kerana melihat kawasannya yang luas dan keindahan seni binannya. Para pengunjung dari seluruh dunia datang ke sini melihat keagungan tamadun China. Di benak penulis terfikir tentang kemajuan kejuruteraan dan seni bina masyarakat China dahulu kala. Bukan sahaja, bangunannya indah tetapi taman maharaja juga dihiasi batu-batu yang dibawa dari wilayah Selatan China menghiasi rimbunan pohon di sini. Ada pepohon yang berusia 300 tahun!

Melawat Kota Larangan mengingatkan penulis filem China, iaitu aksi kung fu di istana. Kalaulah semasa kunjungan penulis ada kung fu beraksi, pasti penulis juga turut beraksi! Ternyata penulis banyak dipengaruhi filem klasik China untuk mengetahui sejarah dan budaya China.

1 2 3
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China