Cari:
Farah: Catatan Kampung Manluanhui, Xishuangbanna: Menjejak Saudara di Xishuangbanna
2015-12-28 18:28:36 CRI Cetak
 Xishuangbanna mungkin nama yang sukar sekali disebut oleh lidah orang asing. Namun sesiapa yang teringin menghayati kepelbagaian budaya, menikmati cuaca nyaman daerah autonomi di provinsi Yunnan ini dan melihat langit membiru dengan kepulan awan umpama gula-gula kapas, perlulah menyebut namanya dengan betul.

(Foto: Jinghong, Xishuangbanna banyak kesamaan ciri-ciri Asia Tenggara)

Disebut "Sibsong Panna" dalam bahasa etnik Dai, tempat ini adalah sebuah kawasan peranginan yang penuh ciri-ciri Asia Tenggara, daripada adat resam dan seni bina hinggalah makanan dan pakaian penduduk tempatan. Yang menariknya, meskipun tempat ini banyak pengaruh Buddha, namun ada juga kesan-kesan Islam yang boleh ditemui.

Selain adanya lima buah masjid yang menjadi pusat ibadat dan aktiviti keagamaan Muslim Xishuangbanna, ada juga kampung-kampung komuniti Islam yang dipanggil "Huidaicun".

(Foto: Terujanya Farah dan Anisah nak pergi melawat perkampungan Islam)

Salah satu daripadanya, kampung Manluanhui yang memiliki 426 penduduk muslim dari 83 keluarga, bersejarah kira-kira 200 tahun. Melihat ladang pisang dan sawah di kiri kanan jalan, perjalanan sejam lebih menaiki kereta dari Jinghong, pusat pentadbiran Xishuangbanna, langsung tidak meletihkan. Masuk ke kampung di kawasan bukit, hairan bercampur kagum diri ini melihat asimilasi yang cukup sempurna antara Islam dengan budaya etnik Dai tempatan.

(Foto: Masjid Manluanhui dengan kubah gaya Arab dan atap tradisional Dai)

Keharmonian antara dua elemen itu paling ketara dalam reka bentuk masjid Manluanhui.

Dengan jemaah seramai 50 orang, masjid yang dibina pada tahun 1991 ini juga berfungsi sebagai pusat pendidikan Islam dan pembelajaran bahasa Arab.

(Foto: Dewan solat Masjid Maluanhui boleh memuatkan jemaah seramai 50 orang)

(Foto: Kaligrafi pada dinding luar Masjid Manluanhui)

Dari atas menara azan masjid ini, penorama seluruh kampung menyejukkan mata sesiapa yang melihat, diri ini tidak terkecuali.

Melihat sawah dan tanah ladang terbentang luas, tidak hairanlah kegiatan ekonomi utama bagi sara hidup saudara seagama di kampung Manluanhui melibatkan pertanian. Manluanhui juga terkenal dengan pengeluaran teh pu'er.

(Foto: Harumnya bau daun teh pu'er)

Cukup bertuah kerana masa mengizinkan, kami dibawa melihat bagaimana daun teh dikeringkan dan ditekan. Barulah diketahui, pemberat yang digunakan untuk menekan teh teramat beratnya. Daun teh yang sedang dikeringkan juga bau harumnya semerbak, lebih kuat daripada daun yang sudah kering.

(Foto: Mari bantu keringkan daun teh pu'er)

Kalau sudah melihat bagaimana teh pu'er dihasilkan, sudah tentulah timbul keinginan hendak membeli sedikit teh untuk dibawa pulang. Kata saja membeli, sebenarnya memborong!

(Foto: Ini bukan lagi membeli, tapi memborong)

Katanya, gadis di Xishuangbanna semuanya lampai seperti model, dan rahsia mereka mengekalkan kesihatan dan kecantikan ialah dengan mengamalkan minum teh pu'er. Jom, kita pun minum teh pu'er juga!

(Foto 12: Minumlah teh pu'er kalau inginkan tubuh langsing seperti cik Yu Lafang, peniaga teh pu'er)

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China