Cari:
Perancangan Bahasa Melayu di Malaysia (2)
2008-12-22 13:35:32 CRI Cetak

Dalam bahagian pertama makalah tentang perancangan bahasa Melayu di Malaysia, telah saya bincangkan perancangan bahasa Melayu dalam aspek taraf bahasa Melayu, iaitu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu (dengan penetapan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama dalam sistem pendidikan negara). Perancangan taraf bahasa akan pincang atau tidak sempurna tanpa perancangan korpus atau sistem bahasa, kerana akhirnya sistem bahasa itulah yang menjadi asas penggunaan bahasa oleh semua sektor, baik dalam pentadbiran, pendidikan, kehakiman, ekonomi dan sebagainya. Dengan perkataan lain, perancangan korpus atau sistem bahasa merupakan pengisian taraf yang telah diberikan kepada bahasa Melayu.

Dalam bahagian kedua ini, tumpuan perbincangan kita ialah tentang perancangan korpus atau sistem bahasa Melayu. Perancangan korpus bahasa dikenal juga sebagai proses "pembinaan bahasa". Pembinaan bahasa Melayu sebagai bahasa moden untuk mengisi keperluan pembangunan negara telah dilakukan secara terancang apabila Dewan Bahasa dan Pustaka ditubuhkan pada 22 Jun 1956, mula-mula sebagai jabatan kerajaan dan kemudian dengan lulusnya Akta DBP 1959, bertukar tarafnya menjadi badan berkanun di bawah Kementerian Pendidikan. Pembinaan bahasa yang dikenal juga dengan nama perancangan korpus bahasa dilakukan dalam

Pembinaan bahasa atau perancangan korpus bahasa dilakukan dalam bidang ejaan, peristilahan (kosa kata khusus), kosa kata umum, tatabahasa, sebutan dan laras bahasa.

1. Pembinaan Bahasa Melayu dalam Bidang Ejaan: Usaha pengemaskinian sistem ejaan dilakukan untuk mengatasi masalah tidak selarasnya beberapa sistem ejaan Rumi yang digunakan oleh pengguna bahasa Melayu. Sistem ejaan Rumi bagi bahasa Melayu di Malaysia pada tahap awalnya disusun oleh R.J. Wilkinson pada tahun 1908. Kemudian pada tahun 1920-an tokoh ulung bahasa Melayu, iaitu Pendeta Za`ba (Zainal Abidin bin Ahmad) telah menyusun sistem ejaan Rumi yang digunakan demikian lama di Malaysia dalam sistem pendidikan, pentadbiran dan lain-lain, iaitu kira-kira setengah abad, sehinggalah ditetapkan ejaan Rumi baharu pada tahun 1972.

Dalam pada itu, sebelum penetapan sistem ejaan baharu itu, ada pula sistem ejaan Universiti Malaya, sistem ejaan Universiti Kebangsaan Malaysia dan versi lain yang digunakan oleh pelbagai pihak lain. Sesuai pula dengan semangat penyatuan bahasa Melayu dan bahasa Indonesia untuk memenuhi kerjasama dan persefahaman serantau, sistem ejaan Rumi baharu yang dirasmikan ialah sistem ejaan yang diselaraskan bersama antara Kerajaan Malaysia (melalui Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu) dengan Pemerintah Indonesia (melalui Pakersa, iaitu Panitia Kerja Sama Kebahasaan), melalui badan rasmi kerjasama kebahasaan antara negara, iaitu Majlis Bahasa Indonesia – Malaysia (MBIM) yang ditubuhkan pada tahun 1972.

1 2 3
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Tasik Daming di Jinan

• Sawah Padi Berteres di Suichuan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China