Cari:
Perancangan Bahasa Melayu di Malaysia (3)
2008-12-25 18:55:04 CRI Cetak

Dalam bahagian kedua makalah tentang perancangan bahasa Melayu di Malaysia, telah saya huraikan usaha pembinaan bahasa Melayu dalam bidang sistem ejaan dan peristilahan. Dalam bahagian ini, saya bincangkan pula usaha pembinaan bahasa Melayu atau perancangan korpus bahasa Melayu dalam bidang kosa kata umum.

Usaha merakamkan kekayaan kosa kata atau perbendaharaan kata dalam bahasa Melayu secara terancang oleh Dewan Bahasa dan Pustaka bermula sejak awal tahun 1960-an. Namun lama sebelum itu kekayaan kosa kata bahasa Melayu telah dirakamkan oleh para sarjana asing sejak beberapa abad silam dalam bentuk daftar dan kamus, misalnya Daftar Kata Melayu – Cina (abad ke-15), Kamus Melayu – Itali oleh Antonio Pigafetta pada suku pertama abad ke-16, Kamus Melayu – Inggeris oleh Thomas Bowry pada awal abad ke-18, A Dictionary of the Malay Language oleh Marsden pada tahun 1821, dan beberapa buah kamus lain oleh R.J. Wilkinson (1901, 1908, 1932), W.G. Shellabear (1902, 1916) dan R.O. Winstedt (1913).

Usaha pertama Dewan Bahasa dan Pustaka yang bermula pada tahun 1964 terhasil pada tahun 1970 dengan terbitnya Kamus Dewan, iaitu kamus ekabahasa bahasa Melayu yang dianggap berwibawa sebagai rujukan. Kamus yang entrinya berjumlah kira-kira 30,000 patah itu kemudian diterbitkan dalam edisi baharu pada tahun 1984 dan 1989 (masing-masing dengan tambahan 900 entri dan 2,000 entri), edisi ketiganya pada tahun 1995 (dengan tambahan 6,000 entri) dan edisi keempatnya pada tahun 2005 (dengan tambahan 5,000 entri).

Untuk pelajar sekolah menengah, Dewan Bahasa dan Pustaka menyusun dan menerbitkan Kamus Bahasa Malaysia Edisi Pelajar pada tahun 1975 dan Kamus Pelajar Bahasa Malaysia pada tahun 1987, sementara untuk murid sekolah rendah disusun dan diterbitkan Kamus Rendah Dewan Bergambar pada tahun 1989 dan pada tahun 2003 terbit edisi keduanya dengan judul Kamus KBSR Dewan Bergambar.

Kamus ekabahasa bahasa Melayu yang dirancang memuatkan 70,000 entri, dengan pelbagai maklumat yang lebih tuntas, seperti maklumat etimologi (asal usul kata), maklumat sebutan, maklumat tatabahasa, padanan Jawi dan maklumat sosiolinguistik, iaitu Kamus Umum Bahasa Melayu Dewan sedang disusun dan dijangka terbit sebelum tahun 2010.

Untuk keperluan pemahaman bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar dan masyarakat, Dewan Bahasa dan Pustaka telah menerbitkan Kamus Dwibahasa Bahasa Inggeris – Bahasa Malaysia (1979, edisi kedua 2001)), Kamus Inggeris - Melayu Dewan (1991), dan Kamus Inggeris – Melayu Dewan Edisi Ringkas (1995). Kamus yang sedang disusun ialah Kamus Bahasa Melayu – Bahasa Inggeris Dewan. Kamus ini disusun untuk membantu pelajar asing yang ingin meningkatkan penguasaan bahasa Melayu mereka, khususnya dalam penulisan. Untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris penutur asli bahasa Melayu dan juga pelajar bukan Melayu yang mengikuti pendidikan dalam bahasa Melayu, terutamanya bagi menghasilkan teks dalam bahasa Inggeris, maka Kamus Pelajar Melayu-Inggeris Dewan mula disusun pada tahun 2005.

Kamus dwibahasa lain yang telah terbit ialah Kamus Perancis – Melayu (1996) dan kini sedang diusahakan edisi keduanya. Yang sedang disusun ialah Kamus Bahasa Mandarin – Bahasa Melayu, Kamus Bahasa Tamil – Bahasa Melayu, Kamus Bahasa Thai – Bahasa Melayu (telah terbit pada tahun 2008) dan Kamus Bahasa Melayu – Bahasa Khmer. Dalam rancangan, akan disusun pula Kamus Bahasa Jerman – Bahasa Melayu, Kamus Bahasa Melayu – Bahasa Rusia, Kamus Bahasa Melayu-Bahasa Korea, dan Kamus Bahasa Sepanyol – Bahasa Melayu. Penerbitan kamus bahasa utama dunia dan bahasa Melayu itu merupakan tindak lanjut daripada rumusan dalam Sidang Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) yang telah bermula pada tahun 2000.

Kamus istilah dalam pelbagai bidang ilmu yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pula telah menjangkau jumlah 24 judul pada tahun 2004 dan banyak lagi yang dalam proses penerbitan dan penyusunan.

Untuk memastikan pengembangan bahasa Melayu yang lebih berkesan, Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama pihak swasta telah menerbitkan kamus elektronik, iaitu Kamus Telapak BESTA DBP-1 (1998) dan Kamus Pena Quicktionary (2000). Penerbit swasta seperti Fajar Bakti dan Sasbadi telah turut menerbitkan kamus elektronik bahasa Melayu.

Sebagai penutup, kepesatan usaha menyusun maklumat kosa kata bahasa Melayu yang berkembang dari waktu ke waktu, tergambar pada jumlah kamus yang ada dalam kepustakaan Melayu. Menurut kajian yang telah dibuat tentang kepustakaan kamus Melayu di Malaysia, setakat ini tidak kurang daripada 552 judul kamus telah diterbitkan oleh pelbagai penerbit di negara ini.

[Makalah selanjutnya akan menghuraikan usaha penyusunan tatabahasa bahasa Melayu.]

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Wuyuan Diliputi Kabus Nipis

• Pesona Qilian pada Musim Gugur
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China