Cari:
PERSIDANGAN ANTARABANGSA PENGAJIAN MELAYU DI BEIJING – MENJALIN PERSEFAHAMAN ANTARA TAMADUN
2009-09-16 14:39:33 CRI Cetak

Awang Sariyan

Penyandang Kursi Pengajian Melayu di Republik Rakyat China

(Penyelaras Umum Persidangan)

Kepelbagaian dan kerencaman tamadun yang ada di dunia ada kalanya dilihat sebagai sesuatu yang negatif, atau paling tidak sebagai masalah manusia sejagat. Hal itu barangkali seakan-akan ada benarnya apabila kita menyaksikan adanya bangsa atau kuasa, terutama kuasa besar di dunia yang berusaha memaksakan idelogi atau kehendaknya ke atas bangsa lain, yang kebetulan berbeda asas tamadunnya. Sejarah dari beberapa abad silam memperlihatkan gerakan kuasa-kuasa Barat, seperti Portugis, Inggeris, Belanda, Sepanyol dan Perancis secara agresif mendatangi wilayah di luar Eropah, terutama Asia, bukan sahaja untuk menjadikan sejumlah negara di Asia sebagai jajahan takluk daripada segi politik dan ekonomi, bahkan juga daripada segi kebudayaan, pendidikan dan sistem kepercayaan.

Samuel P. Huttington dalam buku yang judulnya dengan jelas mencerminkan sikap pesimistiknya tentang kepelbagaian tamadun di dunia (The Clash of Civilizations, 2002) meramalkan bahawa dunia akan menjadi gawat dengan pertentangan antara pelbagai tamadun sedunia, khususnya antara tamadun barat dengan tamadun timur. Sanggahan terhadap teori itu dan sikap lain yang menilai wujudnya kepelbagaian tamadun di dunia sebagai batu penghalang persefahaman, perpaduan dan persaudaraan sesama manusia di muka bumi ini mencetuskan gagasan pada penganjur Persidangan Antarabangsa Pengajian Melayu, Beijing 2009 yang berlangsung pada 31 Mei-3 Jun 2009 lalu.

Dengan keyakinan bahawa kepelbagaian dan kerencaman tamadun manusia sedunia merupakan suatu fitrah dan sunatullah, dan oleh itu perlu disantuni dengan hikmah dan lapang dada, penganjur persidangan memilih tema "Menjalin Persefahaman antara Tamadun melalui Pengajian Melayu". Tema itu malah bertepatan pula dengan peristiwa penting terjalinnya hubungan diplomatik antara Malaysia dengan Republik Rakyat China pada 31 Mei 1974 yang memenuhi usaha merapatkan jurang antara dua tamadun. Persidangan anjuran Pusat Pengajian Melayu China, Universiti Pengajian Asing Beijing itu secara sedar memang dirancang untuk diadakan bertepatan dengan sambutan ulang tahun ke-35 hubungan diplomatik antara dua buah negara yang sekali gus mewakili dua tamadun besar, iaitu tamadun Melayu dan tamadun China.

Bukan suatu kebetulan pula bahawa persidangan itu dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia yang keenam, Dato' Seri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak, anakanda tokoh yang merintis dan merealisasikan hubungan diplomatik pertama dalam kalangan negara di Asia Tenggara dengan kuasa besar China, iaitu Allahyarham Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia yang kedua. Namun, yang lebih penting daripada perayaan yang sedikit bernostaglia tentang keakraban hubungan antara dua buah negara dan wilayah itu ialah kupasan para pemakalah persidangan tentang hakikat usaha menjalin persefahaman antara tamadun, baik kupasan yang menyeluruh mahupun yang menjurus kepada hubungan antara tamadun Melayu dengan tamadun China.

Salah satu kertas kerja utama, iaitu "Menjalin Persefahaman antara Tamadun melalui Pengajian Melayu: Gagasan Pelan Tindakan" oleh Penyandang Kursi Pengajian Melayu di China, Prof. Dr. Awang Sariyan menyorot interaksi antara tamadun sejak awal wujudnya tamadun di dunia. Antara yang dirujuki ialah dampak tamadun Yunani dan Rumawi kepada tamadun Barat yang lain pada zaman-zaman sesudahnya, interaksi dan dampak tamadun umat Islam terhadap tamadun Barat dan tamadun dunia yang lain, seperti tamadun Parsi, tamadun Melayu, tamadun India-Pakistan dan lain-lain.

Khusus tentang interaksi dan persefahaman antara tamadun Melayu dengan tamadun China, kertas kerja tersebut menelusuri hubungan yang telah terjalin sejak awal abad Masihi dan memuncak pada zaman Kesultanan Melaka dan Dinasti Ming. Antara pelan tindakan untuk meningkatkan persefahaman antara tamadun melalui pengajian Melayu yang dikemukakan termasuklah penyelidikan, penerbitan dan pembinaan rangkaian kerjasama.

Kertas kerja lain yang mengupas sejarah hubungan antara tamadun Melayu dengan tamadun China ialah kertas kerja Prof. Liang Liji (sarjana berusia 80-an di Universiti Peking), Prof. Dato' Wan Hashim Wan The (Pengerusi Institut Terjemahan Negara Malaysia), Prof. Dato' Nik Anuar Nik Mahmud (Felo Utama ATMA, UKM) dan Yang Que Yee (tokoh perkamusan Melayu-China berusia 70-an dari Singapura). Sebuah kertas kerja utama lagi, iaitu "Kedegilan dalam Memperjuangkan Pengembangan Bahasa Melayu di China" oleh Prof. Wu Zong Yu, Pengarah Pusat Pengajian Melayu China menyusur-galurkan upaya mengembangkan pengajaran bahasa Melayu di negara tersebut sejak tahun 1961.

Amat menarik bahawa 60 kertas kerja yang dibentangkan dan dibincangkan (selain kira-kira 20 kertas kerja yang diedarkan kerana ketidakhadiran pemakalahnya, antaranya disebabkan oleh kebimbangan akan wabak Selesema Babi atau Influenza H1 N1), mencakup pelbagai aspek hubungan antara dua tamadun itu. Antaranya termasuklah hubungan dalam bidang sosioekonomi (kertas kerja Dr. Nik Haslinda Nik Hasan dari USM, Dr Nazarudin Zainun dkk dari USM, Mohd. Zaim Zainal Adnan dari USM dan Hasrina Baharum dari UPSI).

Aspek lain yang diduga mendapat liputan meluas ialah bahasa dan sastera. Dalam bidang bahasa, antara kertas kerja yang dibentangkan termasuklah kertas kerja Prof. Zhao Yue Zhen, Prof. Madya Su Ying Ying @ Suria, Shao Ying @ Adibah (ketiga-tiganya dari Universiti Pengajian Asing Beijing atau BFSU), Prof. Madya Dr. Paitoon M. Chaiyanara, Prof. Madya Dr. Sanat Md Nasir, Dr. Roksana Bibi Abdullah (semua dari Institut Pendidikan Nasional, Universiti Teknologi Nanyang Singapura), Sharliani Che ani dari USM dan Dr. Chong Shin dari ATMA, UKM. Kertas kerja Dr Chong Shin yang berjudul "Kepunahan Bahasa Austronesia di Taiwan" menarik dalam konteks kewujudan bahasa Austronesia di wilayah China daripada perspektif sejarah dan situasi semasa.

Dalam bidang sastera, sebahagian kertas kerja yang dibentangkan memerikan tamadun China dalam sumber sastera Melayu lama dan baharu, manakala yang lain membandingkan sastera Melayu dengan sastera China dan hubungan saling mempengaruhi antara sastera kedua-kedua tamadun. Antaranya termasuklah kertas kerja sarjana Rusia yang kini di Akademi Pengajian Islam UM, Prof. Madya Dr Tatiana Denisova, Prof. Mady Dr Hadijah Rahmat dari Universiti Teknologi Nayang Singapura, Dr. Tee Boon Chuan dari Universiti Tunku Abdul Rahman, Dr. Ani Hj Omar dari UPSI, Dr. Mawar Shafie dari UKM, Dr Sakinah Abu Bakar dari USM, Dr. Norhayati Abdul Rahman dari UM dan Jingling Zhan @ Melati dari Universiti Komunikasi China.

Bidang lain yang menarik dan dibentangkan meliputi bidang agama dan sistem kepercayaan, pemikiran, kosmologi, pendidikan, sukan, seni bela diri, media, teknologi maklumat dan malahan penujuman atau kemahiran peramalan. Ternyata bahawa cukup luas cakupan yang dapat dikaji dan diperikan dalam kupasan hubungan antara tamadun Melayu dengan tamadun China, sebagaimana luasnya pemerian interaksi antara tamadun Melayu dengan tamadun lain juga.

Persidangan yang disertai oleh kira-kira 150 orang dari Malaysia, Singapura, Brunei Darussalam, Korea, Rusia dan Repulik Rakyat China sendiri merumuskan beberapa pelan tindakan operasional. Dalam bidang penyelidikan, disarankan langkah:

1. Menggarap bidang penyelidikan tentang bahasa (antaranya kajian perbandingan atau analaisis kontrastif antara bahasa Melayu dengan bahasa China, terutama untuk tujuan pengajaran bahasa kepada penutur asing dan kajian sosiolinguitisik seperti penerimaan dan ragam bahasa Melayu dalam kalangan komuniti di China, baik yang merupakan penduduk asal mahupun yang hijrah dari Asia Tenggara, khususnya dari dunia Melayu, seperti yang terdapat di beberapa provinsi seperti di Guangdong, Hainan, Fujian dan malah di Beijing sendiri).

2. Menggarap bidang penyelidikan tentang hubungan dan kerjasama ekonomi semasa antara negara-negara di dunia Melayu dengan China.

3. Menggarap bidang penyelidikan perbandingan falsafah dan pemikiran, kosmologi, sistem nilai, lambang dan imej dan aspek-aspek lain yang dapat meningkatkan perserfahaman antara tamadun dan dapat mencetuskan usaha saling memanfaatkan unsur positif daripada tamadun yang lain.

4. Menggarap penyelidikan sumber China dan Melayu tentang pelbagai aspek hubungan kedua-dua tamadun sebagai anternatif analisis yang selama ini lebih cenderung berdasarkan dapatan sarjana Barat (amat menarik bahawa Dinasti-dinasti China dari zaman awalnya memiliki tradisi pencatatan peristiwa harian yang berkaitan dengan maharaja dan hal ehwal kerajaan, sementara persuratan Melayu memiliki sumber-sumber historiografi yang dapat dikaji dan ditafsirkan).

Dalam bidang penerbitan pula, dirumuskan langkah-langkah yang berikut:

1. Penerbitan bahan ajar bahasa yang terancang, baik dalam bentuk bercetak mahupun digital, sama ada bahan tatabahasa, lisan, penulisan, bacaan luas mahupun kamus.

2. Penerbitan hasil-hasil kajian tentang pelbagai aspek tamadun dalam bentuk monograf, jurnal dan buku. Yang termasuk dalam usaha ini ialah langkah mengenal pasti dan membuat inventori tesis-tesis tentang bahasa, sastera, budaya, ekonomi dan lain-lain yang memerikan hubungan antara tamadun, termasuk antara tamadun Melayu dengan tamadun China. Dengan adanya inventori itu, dapat diusahakan penerbitkan karya terpilih.

Segala langkah tidak mungkin berkesan tanpa jaringan kerjasama yang erat dan padu. Maka persidangan menekankan pentingnya jaringan kerjasama antara institusi, antara negara dan antara individu dipererat. Antara langkahnya termasuklah mengaktifkan badan yang ditubuhkan untuk menyelaraskan kegiatan penyelidikan, penerbitan dan pengembangan dalam konteks serantau dan sedunia. Badan yang telah ditubuhkan oleh Kerajaan Malaysia pada tahun 1997 dan mula beroperasi pada tahun 2000, melalui Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia, iaitu Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) perlu diaktifkan semula untuk menyelaraskan usaha-usaha persefahaman antara tamadun melalui pengajian Melayu.

Majlis itu dalam tempoh tahun 2000-2004 telah bergerak dengan aktif dan telah membuahkan hasil yang nyata dalam pelbagai bentuk. Antaranya pembinaan bahan ajar bahasa Melayu untuk penutur asing, promosi bahasa dan persuratan Melayu di wilayah-wilayah tertentu di luar alam Melayu, persidangan pengajian Melayu di dalam dan luar alam Melayu, pengukuhan pengajian Melayu di luar negara, pemanfaatan tenaga penyelidik bersama dari pelbagai institusi sedunia dan kegiatan pengembangan bahasa dan persuratan. Jika dengan sebab yang tidak diketahui MABM tidak dapat diaktifkan semula, maka Bahagian Pengantarabangsaan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia yang telah dua tahun berturut-turut mengendalikan Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu dengan jayanya mungkin dapat menjadi penggerak utama upaya menjalin persefahaman antara tamadun melalui pengajian Melayu.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Pemandangan Indah Dataran Tinggi di Barat Sichuan

• Taman Hutan Negara Nanling
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China