Cari:
Shinzo Abe Luaskan Pengaruh Jepun di ASEAN
2013-11-20 11:31:41 CRI Cetak

Baru-baru ini, Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe telah melawat ke Kemboja dan Laos. Setakat ini, beliau telah menjejak kaki ke semua negara anggota ASEAN dalam tempoh tidak sampai setahun sejak beliau menjawat jawatan Perdana Menteri. Para penganalisis berpendapat, Shinzo Abe sedang berusaha sedaya-upaya untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang ekonomi dan jaminan keselamatan dengan ASEAN supaya memperluas pengaruh Jepun di rantau tersebut.

Pada bulan Januari lalu, Abe yang baru terpilih menjadi Perdana Menteri Jepun segera memulakan lawatan ke Vietnam, Thailand dan Indonesia. Dalam rangka lawatan tersebut, Abe telah memujuk ASEAN membuka pintu kepada syarikat Jepun dengan menjanjikan bantuan ekonomi, yang bertujuan menggalakkan pemulihan ekonomi negaranya sendiri. Di samping itu, Jepun juga mempromosikan konsep "penyumbang kedamaian yang proaktif", meningkatkan kerjasama keselamatan maritim dengan negara-negara ASEAN, bagi memainkan peranan ketenteraan yang lebih besar di rantau tersebut.

Untuk merangsang pemulihan ekonomi Jepun, Abe mengemukakan dasar ekonomi "Abenomics", termasuk dasar kewangan yang melampau longgarnya, dasar fiskal yang fleksibel dan strategi pertumbuhan ekonomi yang berdasarkan pembaharuan struktur. Salah satu tujuan penting usaha diplomatik Shinzo Abe di ASEAN ialah mengongsi hasil pembangunan ekonomi ASEAN dan mengukuhkan asas pemulihan ekonomi Jepun.

Dalam bidang keselamatan pula, Abe mementingkan kerjasama keselamatan maritim dengan negara-negara ASEAN. Beliau berjanji akan menyediakan 10 buah kapal peronda dan kemudahan telekomunikasi kepada pasukan pengawal pantai Filipina, selain bersetuju mengadakan dialog jaminan keselamatan dengan Laos yang disertai pegawai dari kementerian luar dan kementerian pertahanan, serta menyediakan sokongan berbentuk latihan kepada pasukan pengawal pantai negara-negara ASEAN.

Sidang Kemuncak Jepun-ASEAN dijadualkan diadakan di Tokyo pada pertengahan bulan Disember nanti. Shinzo Abe memandang ini sebagai peluang untuk terus menggalakkan kerjasama ekonomi dan keselamatan dengan ASEAN, dan akan terus mempromosikan konsep "penyumbang kedamaian yang proaktif", demi mendapat lebih banyak sokongan daripada ASEAN terhadap dasar luar dan keselamatannya.

Para penganalisis juga berpendapat, usaha diplomatik Shinzo Abe di ASEAN juga bertujuan membolehkan Jepun lebih aktif menyertai hal ehwal serantau dan antarabangsa, supaya negara itu dapat bersuara dengan lebih lantang di masyarakat antarabangsa.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China