Cari:
Skandal Pengintipan Jejaskan Hubungan Indonesia-Australia
2013-11-21 14:36:28 CRI Cetak

Hubungan bilateral antara Indonesia dan Australia menjadi tegang kebelakangan ini berikutan tindakan pengintipan jabatan perisikan Australia terhadap panggilan telefon Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono serta isterinya dan beberapa orang pegawai kanan kerajaan.

Setelah kerajaan Australia sekali lagi menolak meminta maaf atas peristiwa tersebut, kerajaan Indonesia semalam mengumumkan menurunkan taraf hubungan bilateral dengan Australia, menghentikan kerjasama dalam pelbagai bidang, termasuk latihan ketenteraan dan penempatan pelarian. Duta Besar Indonesia ke Australia telah pun segera dipanggil balik pada 18 November lalu ketika peristiwa tersebut didedahkan.

Pada awal bulan lalu, majalah Der Spiegel Jerman mendedahkan maklumat yang diperoleh daripada Edward Snowden, bahawa Kedutaan Besar Australia ke Indonesia telah menggunakan perkakas pengintipan untuk mengumpul maklumat. Kerajaan Indonesia menuntut Australia memberi penjelasan pada awal bulan ini. Namun, Australia gagal memberi respons yang memuaskan. Setelah peristiwa pengintipan panggilan tersebut didedahkan, Perdana Menteri Australia, Tony Abbott bahkan mengambil sikap yang keras, dan pada 19 November lalu menegaskan Australia tidak patut meminta maaf atas tindakan yang memelihara kepentingan negara.

Sikap Australia itu menimbulkan kemarahan Indonesia. Presiden Susilo yang berasa sesal akan sikap Tony Abbott, menyatakan bahawa peristiwa ini akan menjejaskan perkongsian strategik, dan memaksa Indonesia mempertimbangkan semula kerjasama bilateral antara kedua-dua negara.

Sebagai negara jiran yang paling dekat, Indonesia telah sekian lama diiktiraf sebagai rakan strategik yang penting bagi Australia. Australia pula banyak menyediakan bantuan ekonomi, teknologi dan kemanusiaan kepada Indonesia. Dalam tempoh setahun yang lalu, Australia telah menghulurkan bantuan kewangan bernilai USD 608 juta kepada Indonesia, angka ini meningkat 20% berbanding tahun sebelumnya. Kerjasama bilateral dalam bidang politik, ketenteraan, ekonomi, keselamatan dan maritim pula semakin erat.

Bagaimanapun, sejak Tony Abbott menjawat jawatan Perdana Menteri Australia pada bulan September lalu, dasarnya yang keras mengenai penempatan pelarian dan isu-isu yang lain telah mengganggu hubungan negaranya dengan Indonesia. Kerajaan Australia berharap mengurangkan jumlah pelarian melalui kerjasama yang rapat dengan Indonesia. Namun, kerjasama tersebut kini dihentikan.

Media Australia berpendapat, isu tersebut berkait rapat dengan keselamatan dan kepentingan kedua-dua negara. Kedua-dua pihak patut mengambil langkah yang bijak dan ikhlas untuk menyelesaikan isu ini. Kalau tidak, ia akan menjejaskan rasa saling mempercayai antara pucuk pimpinan kedua-dua negara.

Namun begitu, kerjasama ekonomi dan perdagangan antara kedua-dua negara tetap akan diteruskan. Jabatan yang berkenaan seharusnya berkhidmat untuk syarikat, supaya menjana pendapatan untuk negara, sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi dan perdagangan.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China