Cari:
Masa Depan Politik Thailand Kurang Jelas
2013-12-17 13:15:01 CRI Cetak

Dalam tempoh dua hari sahaja, tiga forum yang bertujuan menyelesaikan kebuntuan politik di Thailand diadakan di Bangkok. Bagaimanapun, pelbagai pihak yang terbabit dalam pergolakan pada masa ini masing-masing berkeras dengan pendirian sendiri, ini mengakibatkan forum-forum tersebut kurang berkesan dan masa depan politik negara itu tetap kurang jelas.

Perhimpunan tunjuk perasaan yang berlaku di Bangkok sebelum ini telah mereda buat masa ini. Penganalisis yakin bahawa sekiranya pilihan raya berjaya diadakan pada 2 Februari tahun depan, keadaan di Thailand dapat pulih tenang. Namun, pilihan raya itu dengan sendirinya tidak dapat menyelesaikan secara tuntas perpecahan yang wujud dalam masyarakat Thailand. Untuk itu, perlunya pembaharuan politik.

Forum anjuran Jabatan Perdana Menteri yang diharapkan menjadi platform dialog antara kerajaan dan kumpulan antikerajaan telah diadakan pada 15 Disember lalu. Bagaimanapun, pemimpin perhimpunan tunjuk perasaan antikerajaan, Suthep Taugsuban akhirnya mengubah fikiran dan tidak menghantar wakil untuk menghadiri forum kerajaan tersebut.

Pada 14 Disember lalu, Suthep pula menganjurkan forum di Bangkok. Beliau tetap menuntut Yingluck Shinawatra meletakkan jawatan, "Majlis Rakyat" mengambil alih kuasa pemerintahan selaku kerajaan sementara untuk menggalakkan pembaharuan politik, dan kemudian barulah mengadakan pilihan raya.

Pada hari yang sama, komander tertinggi angkatan tentera Thai, Jeneral Tanasak Patimapragorn menganjurkan forum yang disertai oleh semua pegawai kanan tentera. Suthep pula membawa 20 orang wakil antikerajaan menghadiri forum tersebut. Beliau berusaha memujuk pihak tentera bekerjasama dengan kumpulan antikerajaan untuk memberi tekanan kepada Yingluck. Bagaimanapun, pihak tentera telah menyatakan pendirian dalam forum tersebut yang tidak menyokong pihak antikerajaan, serta menyokong pilihan raya dan pembaharuan. Pihaknya juga menyeru permuafakatan dicapai antara kerajaan dan kumpulan antikerajaan demi menyelesaikan krisis politik. Ini merupakan kali pertama pihak tentera menjelaskan pendiriannya.

Menurut para penganalisis, Parti Pheu Thai dan parti-parti sekutunya mendapat sokongan majoriti pengundi Thailand. Dengan itu, pihaknya pasti mendapat kemenangan mudah dalam pilihan raya yang bakal diadakan, sekaligus menjamin Yingluck terus menjawat jawatan Perdana Menteri selepas pilihan raya. Oleh itu, pihak antikerajaan pasti tidak berpuas hati terhadap keputusan pilihan raya dan tunjuk perasaan berkemungkinan besar akan diteruskan pada masa itu.

Memandangkan keadaan tersebut, satu-satunya cara untuk menyelesaikan masalah ini secara tuntas ialah dengan menggalakkan pembaharuan, khususnya pembaharuan politik. Golongan elit pula perlu bertolak ansur dan melepaskan sebahagian kepentingan untuk mengurangkan jurang pemisahan masyarakat dan menyelesaikan pergolakan politik yang telah berlarutan selama 10 tahun di negara itu.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China