Cari:
AS Bantu Tingkatkan Keselamatan Maritim Asia Tenggara
2013-12-18 12:38:55 CRI Cetak

Setiausaha Negara AS, John Kerry telah mengadakan rundingan dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Luar Vietnam, Pham Binh Minh di Hanoi pada petang 16 Disember lalu. Dalam rundingan tersebut, Kerry memaklumkan siri dasar dan rancangan untuk meningkatkan hubungan AS-Vietnam. Ini termasuk menyediakan bantuan keselamatan dan pembangunan sebanyak lebih USD 30 juta, serta bantuan ekonomi dan perdagangan bernilai kira-kira USD 100 juta kepada Vietnam.

Dalam aspek keselamatan, bantuan AS sebanyak USD 18 juta akan digunakan untuk membeli lima buah kapal peronda AS yang akan digunakan oleh pasukan polis marin Vietnam pada tahun depan. Manakala, bantuan pembangunan sebanyak USD 17 juta akan disalurkan kepada usaha menangani masalah perubahan iklim. Selain itu, Agensi Pembangunan Antarabangsa AS akan menyediakan USD 4.2 juta kepada Vietnam dalam bentuk dana khas untuk menggalakkan negara itu melaksanakan rundingan Perkongsian Ekonomi Strategik Trans Pasifik (TPP).

Kerry juga mengumumkan bahawa AS akan menambah bantuan sejumlah USD 32.5 juta kepada Asia Tenggara bagi membantu pelbagai negara di rantau ini meningkatkan kemampuan untuk memelihara kedaulatan dan keselamatan wilayah, ini termasuk USD 18 juta yang disediakan kepada Vietnam. Berdasarkan kenyataan Jabatan Negara AS, termasuk bantuan tersebut, AS akan menyediakan bantuan keselamatan yang melebihi USD 156 juta kepada Asia Tenggara dalam tempoh dua tahun akan datang.

Kerry juga menyatakan, AS akan meningkatkan kerjasama dan pertukaran maklumat dengan pelbagai negara berkenaan di ASEAN bagi memelihara kebebasan dan keselamatan pelayaran di Laut China Selatan. Bagaimanapun, Vietnam agak berhati-hati dalam isu tersebut. Pham Pinh Minh dalam sidang akhbar menyatakan bahawa Vietnam akan mematuhi persepakatan yang telah dicapai dengan China untuk bersama-sama memelihara kedamaian dan kestabilan serantau.

Dalam rangka lawatan ke Filipina, John Kerry telah bertemu dengan Presiden Benigno Aquino III dan Menteri Luar, Albert del Rosario. Kedua-dua pihak telah membincangkan rangka perjanjian mengenai meningkatkan kehadiran tentera AS di negara itu serta situasi Laut China Selatan.

Kerry memilih Vietnam dan Filipina sebagai destinasi lawatan kali ini memperlihatkan strategi diplomasi AS yang bersasaran jelas. Meningkatkan keselamatan maritim di Asia Tenggara dan kebebasan pelayaran di Laut China Selatan merupakan tujuan penting lawatan Kerry, manakala menambah bantuan keselamatan serta meningkatkan kerjasama dan pertukaran maklumat merupakan langkah untuk mewujudkan matlamat tersebut.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China