Dalam tempoh dua bulan yang lalu, situasi yang tegang di Thailand telah membawa pengaruh negatif terhadap industri pelancongan negara itu yang sepatutnya memasuki musim puncaknya. Demi membina semula keyakinan pelancong asing terhadap Thailand dan merangsang penggunaan pelancongan antarabangsa, kerajaan dan sektor perniagaan Thailand bersama-sama melancarkan siri inisiatif untuk memastikan prestasi yang baik pada musim puncak menjelang tahun baharu.
Thailand selama ini merupakan antara destinasi pelancongan yang paling popular bagi pelancong dari seluruh dunia. Namun, ekoran kekerapan laporan berita mengenai pergolakan politik baru-baru ini, ramai pelancong yang dulunya merancang melawat ke Thailand mula berasa ragu-ragu. Bagaimanapun, selepas tiba di negara itu, ramai pelancong mendapati bahawa meskipun perhimpunan tunjuk perasaan kadang kala berlaku di Bangkok, namun ia tidak mengganggu kehidupan normal warga kota tersebut.
Demi menghapuskan kebimbangan yang sedemikian, Biro Pelancongan Thailand berusaha sedaya upaya menjelaskan hakikat sebenar mengenai perhimpunan tunjuk perasaan itu kepada media dan para pelancong asing. Selain itu, biro itu juga menyediakan perkhidmatan khas kepada pelancong ke Thailand dalam tempoh pergolakan ini termasuk memaklumkan tempat perhimpunan dan mencadangkan laluan pelancongan.
Naib Ketua Pengarah Biro Pelancongan Thailand, Vilaiwan Twichasri menyatakan bahawa sumber pelancongan Thailand yang pelbagai jenis akan menutup kerugian yang diakibatkan pergolakan politik. Menurut beliau, perhimpunan hanya dijalankan di beberapa tempat yang tertentu, pelancong juga boleh memilih tempat pelancongan yang lain di Thailand seperti Chiang Mai dan Puji.
Selain itu, perkhidmatan yang bermutu tinggi juga merupakan kelebihan Thailand yang menarik pelancong asing. Untuk menghadapi tempoh puncak pelancongan tahun ini, lapangan terbang antarabangsa Suvarnabhumi telah membuka pusat khidmat pelancong di samping menambah bilangan pengawal keselamatan dan pos pemeriksaan keselamatan.
Cuti sempena Tahun Baharu merupakan musim puncak perniagaan bagi pusat beli-belah Thailand, tetapi ekoran situasi politik yang tegang, jumlah penjualan kini menurun. Sehubungan dengan keadaan itu, industri jualan runcit mengeluarkan langkah rangsangan untuk menjana penggunaan pelancong asing. Pegawai syarikat Kad VISA Cawangan Thailand memaklumkan bahawa pihaknya bekerjasama dengan lapangan terbang Thailand menawarkan hadiah bagi penggunaan kad VISA serta aktiviti-aktiviti lain.
Menurut statistik Biro Pelancongan Thailand, jumlah pelancong ke Thailand mencecah 22 juta orang pada tahun 2012 yang membawa keuntungan sebanyak 965 bilion Baht. Vilaiwan Twichasri menyatakan bahawa walaupun menghadapi kesan negatif ekoran pergolakan politik, tetapi jumlah pelancong asing ke Thailand pada Januari hingga Oktober lalu telah mencatat 20 juta, dan sasaran jumlah pelancong seramai 32 juta orang pada tahun 2013 dijangka dapat direalisasikan pada bulan ini.