Cari:
Yingluck dalam Dilema Ekoran Situasi Darurat Thai
2014-01-24 13:56:31 CRI Cetak

Hari ini merupakan hari kedua sejak perintah darurat diisytiharkan di bandar Bangkok. Bagaimanapun, keadaan di bandar tersebut tetap tidak berubah. Kumpulan antikerajaan tetap meneruskan tindakan "melumpuhkan Bangkok" dan tidak diganggu oleh polis. Penganalisis berpendapat, undang-undang darurat adalah tindakan yang paling ketat sejak pergolakan politik di negara tersebut tercetus pada November tahun lalu. Namun disebabkan pendirian pihak tentera yang tidak boleh menggunakan kekerasan, undang-undang itu sukar mencapai kesan yang dijangkakan.

Walaupun pihak tentera berulang kali menyatakan pendiriannya yang neutral dan memberi amaran kepada kerajaan supaya tidak menggunakan kekerasan, namun sekiranya keganasan berlaku, pihaknya akan campur tangan. Maka, pendirian berkenaan sebenarnya berfungsi melemahkan penguatkuasaan perintah darurat, sehingga polis pun tidak dapat berbuat apa-apa terhadap penunjuk perasaan.

Tanpa sokongan tentera, kerajaan Yingluck hanya dapat terus bersabar untuk mengelakkan berlakunya rampasan kuasa oleh pihak tentera. Dengan itu, perintah darurat tidak dapat dilaksanakan dan situasi semasa pun tidak dapat diubah.

Baru-baru ini, media Thai terus membuat liputan berhubung sama ada Yingluck akan meletakkan jawatannya atau tidak. Penganalisis berpendapat, perbuatan itu tidak akan membantu menyelesaikan kemelut sekarang dan hanya menimbulkan lebih banyak masalah.

Pertama, kuasa Yingluck sebagai Perdana Menteri kerajaan sementara diberikan berdasarkan perlembagaan. Apabila meletakkan jawatan tanpa mandat, beliau mungkin didakwa kerana membelakangi perlembagaan.

Kedua, meskipun Yingluck meletakkan jawatan menerusi saluran yang sah, namun kepada siapa kuasanya patut diserahkan? Puak pembangkang masih belum mempunyai kesahan mahupun kemampuan untuk mentadbir. Satu-satunya pihak yang berkemampuan ialah tentera, tetapi ini bererti rampasan kuasa.

Pilihan Raya Thailand dijadualkan pada 2 Februari nanti. Tapi, puak pembangkang mendesak untuk menangguhkannya, dan mengusulkan pembaharuan dilaksanakan terlebih dahulu. Yingluck berkata, situasi semasa dapat mereda apabila pilihan raya diadakan dengan lancar. Walau bagaimanapun, Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand kurang optimistik terhadap prospek pilihan raya. Pihaknya kelmarin memohon Mahkamah Perlembagaan untuk memutuskan penangguhan berkenaan dalam rangka undang-undang dasar dan pihak mana yang berhak mengumumkan penangguhan itu.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China