Cari:
Singapura Berusaha Tangani Masalah Kurang Pekerja
2014-10-01 13:22:35 CRI Cetak

Berdepan dengan kadar kelahiran yang semakin menurun, di samping jumlah warga emas yang semakin meningkat di Singapura, Suruhanjaya Pentadbiran Buruh Singapura baru-baru ini mencadangkan supaya kerajaan bertindak memberi ganjaran kepada syarikat yang melanjutkan tempoh perkhidmatan pekerja hingga umur 67 tahun sebelum opsyen umur persaraan baharu mula dikuat kuasa.

Menteri Tenaga Manusia Singapura, Tan Chuan Jin telah menerima cadangan suruhanjaya tersebut bagi pihak kerajaan. Beliau menyatakan bahawa ekoran kekurangan tenaga pekerja dalam pasaran, kerajaan Singapura akan menggalakkan syarikat terus menggaji pekerja berumur yang masih mampu berkhidmat. Kadar pengambilan pekerja berumur di Singapura meningkat dengan stabil daripada 57% pada 2009 kepada 65% pada 2013. Tahun lepas, 99% pekerja tempatan di syarikat swasta Singapura dapat menyambung tempoh perkhidmatan ketika genap umur 62 tahun.

Akta Persaraan dan Pengambilan Semula Pekerja yang dikuat kuasa pada tahun 2012 di Singapura menetapkan umur persaraan wajib pada 62 tahun, namun mereka yang keadaan kesihatan dan prestasi kerjanya baik boleh diambil bekerja semula hingga umur 65 tahun. Had umur tersebut mungkin akan dinaikkan kepada 67 tahun, namun opsyen tersebut masih belum berkuat kuasa secara rasmi.

Program ganjaran yang dicadangkan itu dijangka akan dilaksanakan bermula 1 Januari tahun depan. Naib Perdana Menteri Singapura, Teo Chee Hean menyatakan, sebagai salah satu majikan yang terbesar di Singapura, jabatan dan agensi perkhidmatan awam yang menggaji seramai 139 ribu penjawat awam, akan memainkan peranan utama dalam rancangan untuk melanjutkan tempoh perkhidmatan pekerja hingga umur 67 tahun.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China