Cari:
Negara ASEAN Terus Kurangkan NTB
2015-03-05 13:38:05 CRI Cetak

Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) menamatkan permukiman dua hari mereka di Kota Kinabalu, Malaysia baru-baru ini dengan kemajuan kukuh dicapai dalam melaksanakan Pelan Tindakan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC), khususnya langkah utama yang diberikan keutamaan oleh negara anggota.

Kumpulan serantau itu yang kini di peringkat akhir pelaksanaan AEC juga berjaya memansuhkan halangan dagangan seperti Halangan Bukan Tarif (NTB), yang menjadi penghalang jelas kepada usaha untuk merealisasikan AEC.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia, Dato' Sri Mustapa Mohamed pada hari terakhir Permukiman Menteri Ekonomi ASEAN ke-21 itu berkata kepada pemberita bahawa banyak cadangan diketengahkan pada permukiman kali ini, seperti berbincang mengenai NTB, mendengar laporan mengenai kemajuan yang dicapai dalam penyepaduan ekonomi dan meluangkan masa yang panjang ke atas Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan lain-lain.

Dato' Sri Mustapa berkata, pemansuhan halangan bukan tarif sangat penting dan sudah banyak kali ditekankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Setakat ini ASEAN berjaya menyelesaikan 45 daripada 69 halangan bukan tarif yang telah dikenal pasti.

Sementara itu dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas permukiman itu, ASEAN sudah merangka struktur perundangan mengenai persaingan, perlindungan pengguna dan hak harta intelek, yang menyumbang kepada peningkatan persekitaran perniagaan.

Menurut beliau, manfaat sudah pun mula dinikmati perniagaan ASEAN dan pengguna, daripada liberalisasi ketara tarif, kemajuan dalam langkah-langkah memudahkan perdagangan seperti pensijilan sendiri, memudahkan prosedur kastam, dan Peraturan Perakuan Bersama dalam pergerakan profesional mahir di rantau ini.

Para menteri mengetengahkan bahawa tumpuan tahun ini adalah untuk memudahkan lagi prosedur kastam, mengharmonikan piawaian, menambah liberalisasi perkhidmatan, meningkatkan kemudahan perdagangan serta memuktamadkan bahagian perkhidmatan dan pelaburan dalam Perkongsian Ekonomi Komprehensif ASEAN-Jepun.

Mereka juga membincangkan kemajuan dalam membangunkan Pelan Tindakan Strategik PKS (Perusahaan Kecil dan Sederhana), dengan tumpuan khusus ke atas perusahaan kecil dan mikro, selain mempromosikan amalan kawal aturan yang diterima sejagat.

Kemajuan dalam pembangunan visi yang menyeluruh bagi AEC selepas 2015 turut dibincangkan semasa permukiman itu.

AEC perlu ditingkatkan bagi memenuhi permintaan dan cabaran dalam tempoh sepuluh tahun akan datang, yang menuntut ASEAN supaya sentiasa melakukan inovasi dan mengukuhkan dirinya dalam memastikan rantau ini terus kompetitif di peringkat dunia.

(sumber daripada Bernama)

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China