Cari:
Malaysia-China Perkasakan Kerjasama Harta Intelek
2015-04-29 17:39:26 CRI Cetak

Malaysia akan memperkasakan lagi kerjasama dan pertukaran dengan China dalam bidang harta intelek demi manfaat kedua-dua negara. Demikian dinyatakan oleh Menteri Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Malaysia, Dato' Sri Hasan Malek yang sedang mengadakan lawatan kerja di China pada 29 April.

Bercakap kepada pemberita, Dato' Sri Hasan Malek berkata, kerjasama antara kedua-dua negara dalam meneroka bidang harta intelek amat penting kerana harta intelek seumpama kekayaan yang baharu pada masa kini. Hal ini juga selaras dengan usaha kerajaan Malaysia untuk mewujudkan satu model penilaian harta intelek bagi membolehkan harta intelek dinilai secara komersial dan digunakan sebagai cagaran untuk mendapatkan pembiayaan daripada institusi kewangan.

Menurut beliau, antara hasil lawatan kali ini, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) telah menandatangani Surat Persefahaman (LOU) dengan Pejabat Harta Intelek Negara China (SIPO) mengenai pertukaran data dan pangkalan data perubatan tradisional Cina. Hasil daripada perjanjian LOU tersebut membolehkan MyIPO dan SIPO bertukar-tukar maklumat berkaitan dengan harta intelek dan melanggan pangkalan data perubatan tradisional Cina. LOU itu juga akan memperkasakan interaksi dan kerjasama yang saling menguntungkan antara kedua-dua pihak dalam kegiatan penilaian, pembiayaan dan pemasaran harta intelek.

Menyentuh tentang perniagaan Internet yang kini berkembang pesat , Dato' Sri Hasan Malek berkata, dalam era teknologi maklumat ini, usaha-usaha untuk mempelajari perniagaan melalui Internet perlu dilipatgandakan. Peningkatan syarikat-syarikat dalam talian di Malaysia seperti Fashion Valet, Zalora dan Lazada akan dikembangkan apabila pasaran dalam talian tersebut dibuka di China dan kapasitinya akan bertambah. Namun, yang lebih penting manfaatnya dapat dikongsi dengan kedua-dua negara.

Ketua Pengarah MyIPO, Puan Shamsiah Kamaruddin yang turut ikut serta dalam lawatan kerja kali ini berkata, pihaknya akan mengadakan pelbagai aktivtiti dan program kerjasama dengan SIPO, termasuk pertukaran data paten pada masa akan datang. Kerjasama perlindungan harta intelek amat penting bagi memberikan kemudahan kepada peniaga yang terlibat dalam pelaburan dan perdagangan antara Malaysia dengan China.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China