Cari:
Letupan Berkembar Cemari Pelancongan Thailand
2015-08-18 14:30:25 CRI Cetak

Dua kejadian pengeboman masing-masing di luar Kuil Erawan serta persimpangan Ratchaprasong di kawasan pusat bandar Bangkok, Thailand malam tadi meragut 22 nyawa termasuk empat warga China dan mencederakan 123 lagi yang lain, antaranya kebanyakan juga orang China. Serangan tersebut disyaki satu percubaan untuk melumpuhkan ekonomi pelancongan negara itu.

Menurut pihak polis, dalam pengeboman pertama, sebutir bom yang diikat pada tiang elektrik di luar Kuil Erawan meletup, kemudian berlakunya pengeboman kedua di persimpangan Ratchaprasong, yang dicetuskan oleh sebutir bom yang disembunyikan pada sebuah motosikal. Polis mengepung lokasi kejadian tersebut kerana menemukan lagi objek-objek mencurigakan yang dipercayai bahan letupan.

Kuil Erawan yang terletak di kawasan sibuk berdekatan hotel terkemuka, pusat membeli-belah, pejabat dan hospital merupakan tarikan utama di kalangan pelancong asing. Ramai warga tempatan juga mengunjungi rumah ibadat berkenaan.

Menteri Pertahanan Thailand, Prawit Wongsuwong memaklumkan, bahan letupan berkenaan dikenal pasti sebagai TNT. Pengeboman kali ini menyasarkan warga asing, sekali gus bertujuan mencemari sektor pelancongan dan ekonomi negara itu. Dalam pada itu, tiada sebarang kumpulan mengaku bertanggungjawab dan kerajaan tidak dapat mengaitkannya dengan kegiatan pemisah di selatan.

Kejadian itu mencetuskan panik di kalangan masyarakat serta memusnahkan keamanan dan ketenteraman yang dikecapi rakyat negara itu sejak bulan Mei tahun lepas. Datuk Bandar Bangkok mengumumkan penutupan 438 buah sekolah rendah dan sekolah menengah di bandar itu buat hari ini.

Timbalan jurucakap kerajaan Thailand, Mejar Jeneral Weerachon Sukhonthapatipak menasihati orang ramai supaya bertenang dan jangan membuat andaian dan tekaan secara membabi buta. Beliau berkata, Perdana Menteri Jeneral Prayuth Chan-ocha telah pun dimaklumkan mengenai letupan itu dan mengarahkan pihak berkenaan meneliti bukti-bukti yang sedia ada.

Tokoh penganalisis berpendapat, kejadian leputan itu bakal menyebabkan pergolakan politik di negara itu.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China