Cari:
10 Suspek Terbabit dalam Pengeboman Bangkok
2015-08-21 15:26:18 CRI Cetak

Sekurang-kurangnya 10 orang suspek dipercayai terbabit dalam letupan bom berhampiran Kuil Erawan di pusat bandar Bangkok pada malam Isnin lalu. Ketua Polis Diraja Thailand, Jeneral Somyot Pumpanmuang semalam berkata, suspek-suspek disyaki telah merancang pengeboman berkenaan sejak beberapa bulan lalu. Mereka berkomplot meninjau kawasan berkenaan, menyamar sebagai pengawal, menyediakan bahan-bahan serta bantuan untuk melarikan diri dari tempat kejadian. Menurut beliau, pihak berkuasa meningkatkan jumlah ganjaran daripada satu juta kepada dua juta baht (RM200,000) bagi maklumat yang membawa kepada penangkapan suspek berkenaan, sekali gus bertukar-tukar maklumat dengan negara-negara lain yang mempunyai kepakaran dalam memerangi jenayah keganasan. Jeneral Somyot yang percaya suspek masih berada di Thailand, turut menggesa pemandu "Tuk Tuk" yang membawa suspek ke lokasi pengeboman supaya tampil membantu siasatan polis.

Dalam pada itu, Bangkok sudah meminta bantuan Interpol dalam penyiasatan insiden letupan itu, dengan menghantar lakaran imej pengebom berkenaan kepada organisasi polis antarabangsa itu.

Dalam perkembangan terkini, dua orang lelaki yang dikenal pasti pihak polis sebagai suspek serangan bom berkenaan menyerahkan diri kepada polis Thai malam tadi. Dilaporkan, kedua-dua suspek tersebut mengaku diri mereka sebagai pemandu pelancong dan wajah mereka dirakam dalam kamera litar tertutup (CCTV) sebelum letupan berlaku. Dalam rakaman berkenaan, ketika kejadian berlaku, suspek yang berkemeja-T merah dan putih kelihatan sedang berdiri, manakala suspek utama yang berbaju kuning sedang duduk setelah meletakkan beg di sebelahnya. Polis sedang menjalankan siasatan terhadap mereka. Suspek utama dikenal pasti sebagai warga asing, namun belum dipastikan sama ada dia terlibat dengan mana-mana kumpulan militan antarabangsa.

Jurucakap polis, Prawut Tha­vornsiri berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan di kawasan-kawasan penting di sekitar Bangkok, termasuk kawasan tarikan pelancong asing. Bagaimanapun beliau tidak menjelaskan lebih lanjut tentang sama ada pemeriksaan tersebut merupakan sebahagian operasi memburu suspek.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China