Cari:
ASEAN Digesa Bertindak Bersama Tangani Jerebu
2015-10-27 14:49:56 CRI Cetak

Jakarta terus dilanda jerebu akibat kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia. Singapura yang turut dilanda jerebu yang teruk menggesa semua anggota ASEAN bertindak bersama untuk menyelesaikan masalah ini.

Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Indonesia, Sutopo Purwo Nugroho berkata jerebu yang melanda Jakarta adalah sementara dan berubah mengikut arah angin, dan kualiti udara di bandar raya itu masih dalam tahap normal. Bagaimanapun, Sumatara dan Kalimantan terus diselubungi jerebu tebal, yang mengakibatkan jarak penglihatan di sesetengah bandar kurang daripada 1,000 meter. Gambar satelit pada 25 Oktober lalu menunjukkan satu pertiga wilayah Indonesia dilitupi jerebu.

Menurut data pihak berkuasa Indonesia, setakat ini, sekurang-kurangnya 10 orang terkorban dan kira-kira 500 ribu orang mengalami penyakit pernafasan akibat jerebu yang berlarutan selama beberapa minggu di negara itu.

Pada tahun-tahun sebelum ini, negara-negara jiran yang paling teruk dilanda jerebu akibat kebakaran hutan di Indonesia ialah Singapura dan Malaysia. Namun pada tahun ini, Filipina dan Thailand turut terjejas.

Di Filipina, enam penerbangan terpaksa dibatalkan atau ditangguhkan pada 25 Oktober lalu. Dalam tempoh 10 hari lepas, beribu-ribu orang penumpang telah terjejas akibat masalah tersebut.

Selain itu, semua hospital di Filipina telah diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga, manakala jabatan kesihatan menasihatkan orang ramai yang mempunyai masalah atau penyakit pernafasan supaya menggunakan pelitup muka.

Kebakaran hutan di Indonesia telah berlarutan hampir sebulan. Meskipun negara itu sendiri telah mengerahkan 25 ribu orang untuk memadamkan kebakaran hutan, malah Malaysia, Singapura dan Australia turut menghantar pesawat dan pasukan pemadam kebakaran, namun usaha tersebut masih belum berhasil.

Pada 25 Oktober lalu, Singapura menggesa negara-negara ASEAN mengambil tindakan bersama untuk menyelesaikan masalah ini. Menurut kenyataan Kementerian Luar Singapura, ASEAN perlu mengambil tindakan yang teguh dan mempergiat kerjasama serantau bagi mengelakkan berulangnya masalah seumpama itu. Singapura akan bekerjasama dengan negara-negara ASEAN lain untuk melaksanakan sistem pemantauan jerebu ASEAN dan inisiatif kerjasama berkenaan.

Sidang Kemuncak ASEAN akan diadakan di Kuala Lumpur pada 19 November nanti. Walaupun agenda sidang itu belum dipastikan, namun isu jerebu dijangka akan dibangkitkan oleh negara-negara yang terjejas akibat masalah tersebut. Menurut Kementerian Luar Singapura, syarikat-syarikat yang menjadi punca masalah jerebu akan dikenakan tindakan undang-undang.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China