China mengalu-alukan dasar visa baharu Malaysia terhadap pelancong China.
Ahli Dewan Negara, Guo Shengkun berkata, China bersedia untuk bekerjasama dengan Malaysia bagi melaksanakan dasar tersebut.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Beijing semalam.
Ketika membentangkan pengubahsuaian Bajet 2016 baru-baru ini, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pengecualian visa untuk rakyat China yang melancong ke Malaysia bagi tempoh kurang 15 hari, bermula 1 Mac hingga 31 Disember tahun ini.
Guo, yang juga Menteri Keselamatan Awam, menggesa kedua-dua pihak agar mengintensifkan kerjasama untuk melindungi keselamatan dan kepentingan rakyat, institusi dan syarikat kedua-dua negara.
Tambah beliau, China dan Malaysia perlu bergabung tenaga dalam usaha membanteras jenayah rentas sempadan dan sebarang bentuk keganasan bagi menjamin keselamatan dan pembangunan ekonomi kedua-dua negara.
Zahid menyatakan bahawa pihaknya bersedia untuk terus mengukuhkan kerjasama dengan China dalam bidang keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang, dan memberikan sumbangan yang lebih besar demi menggalakkan kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang.