Cari:
Isu-isu Sensitif bukan Fokus ASEAN
2016-02-16 13:08:06 CRI Cetak

Amerika Syarikat (AS) julung kali menjadi hos Sidang Kemuncak Pemimpin AS-ASEAN yang berlangsung selama dua hari di Rancho Mirage, Sunnylands, California semalam. Persidangan ini dianggap sebagai sebahagian daripada dasar pengimbangan semula kerajaan AS terhadap Asia Pasifik. Sesetengah media dan pakar di negara itu berpandangan bahawa pertemuan antara Presiden Barack Obama dengan sepuluh pemimpin ASEAN tidak akan mencapai hasil yang positif disebabkan wujudnya kepentingan yang berlainan antara pihak-pihak terlibat.

Dasar pengimbangan semula terhadap Asia Pasifik adalah elemen strategik dalam dasar luar kerajaan AS. Washington mahu dasar itu menjadi strategi jangka panjang sekali gus meningkatkan fokus dasar luarnya terhadap rantau ASEAN yang semakin mengembangkan ekonominya. Baru tiga bulan selepas Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 di Kuala Lumpur, Malaysia, Obama memanggil sepuluh pemimpin ASEAN bermesyuarat di bumi Amerika dengan niat menjalin ikatan yang lebih erat dengan negara-negara di rantau berkenaan.

Penganalisis menganggap, persidangan tersebut tidak akan menjurus ke arah mencapai sebarang perjanjian konkrit, kerana di sebaliknya wujud matlamat untuk mempropagandakan strategi baharu kerajaan AS di Asia. Selain itu, Washington juga membawa sesetengah isu sensitif ke meja rundingan untuk mengkaji respons negara-negara ASEAN dalam menghadapi cabaran-cabaran berkenaan.

Walaupun Obama menekankan pentingnya perdagangan dan dasar luarnya mengenai isu Laut China Selatan sepanjang persidangan berkenaan, namun ASEAN mengulangi tekad dan komitmennya untuk tidak campur tangan dalam isu tersebut, di samping mengingatkan pihak ketiga atau pihak yang tidak berkaitan supaya jangan merumitkan lagi situasi.

W.C. Kirby, seorang pakar mengenai isu-isu China dari Universiti Harvard, AS berkata, semua negara ASEAN telah menjalin hubungan yang komprehensif dengan China, dan kebanyakannya mengekalkan interaksi yang aktif dengan Beijing. Maka, mustahillah persidangan ini dijadikan pentas untuk suara anti-China.

Sebenarnya, kebanyakan pemimpin ASEAN membawa isu-isu yang menjadi perhatian masing-masing untuk pertemuan dengan Presiden Obama. Malaysia dan Indonesia ingin melihat kerjasama antikeganasan antara AS dengan ASEAN dapat dipertingkatkan; Thailand merebut kesempatan ini untuk mengharumkan nama kerajaan junta di dunia Barat; manakala, Kemboja mahu hubungan kedua-dua negara diperbaiki sehingga memperoleh bantuan daripada AS. Pendek kata, ASEAN dan AS mempunyai kepentingan masing-masing yang berbeza. Mekanisme keselamatan serantau yang disarankan Washington serta perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) tidak berguna bagi menyelesaikan masalah-masalah domestik yang dihadapi negara-negara ASEAN dewasa ini.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China