Cari:
ASEAN Enggan Dikawal AS
2016-02-18 13:56:02 CRI Cetak

Amerika Syarikat (AS) yang julung kali menjadi hos Sidang Kemuncak Pemimpin-pemimpin AS-ASEAN selama dua hari di California sejak 15 Februari lepas mengulangi tekad untuk menjalinkan ikatan yang lebih erat dengan ASEAN demi mempropagandakan dasar pengimbangan semula pemerintahan Obama terhadap Asia Pasifik di rantau itu.

Dilaporkan, Presiden negara itu, Barack Obama semalam mengumumkan beberapa insiatif AS-ASEAN bertujuan untuk merangsang ekonomi di Asia Tenggara menerusi pembukaan beberapa hab rentas rantau bagi memastikan koordinasi dan jalinan ekonomi yang lebih baik antara usahawan, pelabur serta ahli perniagaan. Menurut beliau, pelaksanaan inisiatif ekonomi itu berikutan keyakinan rantau tersebut bakal menjadi rakan dagang AS yang lebih penting. Disebabkan oleh kedudukan geografi yang strategik, ASEAN dijadikan tumpuan utama kerajaan AS ketika melaksanakan dasar pengimbangan semula terhadap Asia Pasifik.

Walau bagaimanapun, negara-negara ASEAN yang mempunyai kepentingan masing-masing tidak mahu AS memperlakukan mereka seperti kerbau dicucuk hidung. Mengekalkan keseimbangan antara kuasa-kuasa besar di dunia adalah pilihan yang bijak bagi sepuluh buah negara Asia Tenggara.

Pengerusi Majlis Hal-ehwal Dunia Indonesia, Yusuf berkata, ASEAN lebih bersedia memperkasakan kerjasama dengan AS dalam bidang keselamatan, ekonomi dan sebagainya, selain mengekalkan hubungan yang baik dengan negara-negara rakan dialog lain, antaranya China dan Kesatuan Eropah (EU).

Ernest Powell, pakar dari Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS) AS menganggap, pemimpin negara-negara ASEAN tidak akan pilih kasih di antara China dengan AS. Mereka mahu sokongan daripada Washington di samping menyedari besar untungnya mengekalkan hubungan baik dengan Beijing. Mengenai isu Laut China Selatan yang menjadi keprihatinan besar AS sepanjang dua hari sidang kemuncak itu, ASEAN pula bercakap dalam satu suara yang jelas, iaitu enggan mengambil pendirian yang sama seperti AS melakukan campur tangan dan provokasi dalam isu berkenaan.

Media AS menganalisis bahawa biarpun pegawai negara itu menekankan sidang kemuncak kali ini tidak disasarkan kepada China, namun jelaslah niat Obama untuk merapatkan lagi hubungan dengan negara-negara ASEAN, di samping mengalahkan pengaruh dan kedudukan China dari segi politik dan ekonomi di rantau itu.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China