Cari:
Presiden Baharu, Harapan Baharu
2016-03-17 15:10:13 CRI Cetak

Parlimen Myanmar memilih U Htin Kyaw dari Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) sebagai presiden baharu negara itu, sekali gus menamatkan pemerintahan junta sejak puluhan tahun lalu.

Htin Kyaw, 69, penasihat dan rakan baik kepada ikon demokrasi, Aung San Suu Kyi, mendapat undi terbanyak dalam pemilihan, iaitu 360 daripada 652 undi. Manakala, di tempat kedua, calon pihak tentera, Myint Swe yang meraih 213 undi, diikuti satu lagi calon NLD, iaitu Henry Van Thio dengan 79 undi. Mereka berdua akan menggalas jawatan Naib Presiden pertama dan kedua. Selepas selesainya peristiwa penting dalam proses demokrasi yang begitu berjaya di negara itu, dunia turut menumpukan perhatian kepada tindakan seterusnya pucuk pimpinan baharu tersebut dalam membentuk kerajaan baharu serta merangka dasar dalam dan luar negeri.

Pemilihan Htin Kyaw, seorang yang peramah dan pernah bersekolah sama dengan Suu Kyi, telah memperoleh pengiktirafan meluas dalam gelanggang politik Myanmar. Beliau melanjutkan pendidikan di luar negeri dan mendapat ijazah Sarjana dalam jurusan ekonomi dan komputer. Sebelum menganggotai NLD, beliau pernah bertugas di Syarikat Industri Berat No.2 pada akhir 1970-an, kemudian di Kementerian Perancangan dan Kewangan hingga 1992.

Htin Kyaw menggantikan presiden sekarang, Thein Sein bermula 1 April ini. Kerajaan baharu akan mengamalkan dasar luar yang didukung oleh pegawai kanan NLD dan Aung San Suu Kyi, iaitu menjalin ikatan baik dengan semua negara, terutamanya kuasa-kuasa besar dan negara jiran, demi menghakis imej Myanmar daripada pemerintahan junta kepada sebuah negara demokrasi. Mengenai tugas utama dalam negeri, usaha menggerakkan proses perdamaian di Myanmar perlu dipergiatkan. Dunia luar menganggap, selain berbaik dengan sebahagian kumpulan bersenjata yang menunjukkan keikhlasan dalam rundingan damai, kerajaan baharu juga perlu meningkatkan kerjasama dengan pihak junta yang mengawal tiga jabatan kerajaan, iaitu Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Keselamatan Sempadan.

NLD yakin, pemilihan Htin Kyaw akan memberikan wajah baharu kepada politik dan ekonomi negara. Dalam pada itu, Parti Perpaduan dan Pembangunan Kesatuan (USDP) menaruh harapan tinggi kepada presiden baharu itu yang dipercayai mampu membuat jasa kepada negara, dan juga menunjukkan kesediaan untuk bekerjasama dengan kerajaan baharu demi kepentingan negara.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China