Cari:
Prospek Ekonomi Myanmar Cerah
2016-04-15 16:15:47 CRI Cetak

Dalam Tinjauan Ekonomi Dunia (WEO) terbitan terbaharu, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan pertumbuhan ekonomi Myanmar sebanyak 8.6 peratus tahun ini, iaitu anggaran pertumbuhan yang paling tinggi antara hampir 200 buah entiti ekonomi di seluruh dunia. Gambaran yang cerah itu bukan sahaja dorongan besar kepada parti pemerintah Myanmar, Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD), tetapi juga harapan segenap lapisan rakyat di negara itu.

Penganalisis menganggap, unjuran yang memberangsangkan tersebut dibuat berasaskan faktor-faktor seperti berikut: Myanmar yang kaya dengan sumber berpotensi besar untuk mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang tinggi; kerajaan baharu menunjukkan keinginan yang kuat untuk menjalin ikatan kerjasama dengan dunia luar, manakala masyarakat antarabangsa pula optimistik terhadap prospek pelaburan di negara itu.

Dalam tempoh selama lima tahun lepas, bekas Presiden Thein Sein bertindak merangsang pembangunan ekonomi negara, dengan kadar pertumbuhan purata tahunan sebanyak lebih 7 peratus. Oleh itu, sasaran 8.6 peratus dijangka mudah dicapai memandangkan asas ekonomi negara itu agak kukuh. Selepas NLD pimpinan Aung San Suu Kyi memerintah Myanmar, negara itu diperkenalkan dengan wajah baharu di persada dunia, iaitu keterbukaannya dalam membangunkan ekonomi, baik memohon bantuan antarabangsa mahu pun menyokong pelaburan perusahaan swasta. Kerajaan baharu itu bakal melakukan perubahan menakjubkan demi menaikkan imej negara di mata dunia, yang dahulunya salah satu negara paling mundur dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita di bawah USD 1,300 (MYR 5,084).

Menurut penganalisis, China, selaku rakan dagang terbesar kepada Myanmar, akan terus berperanan sebagai pelopor dan perintis dalam memacu pembangunan ekonomi negara itu. Kedua-dua negara mempunyai peluang dan potensi yang besar dalam menjayakan kerjasama yang saling menguntungkan pada masa hadapan.

Biarpun prospek tersebut amat menggalakkan, tetapi kerajaan Myanmar perlu mengambil berat terhadap beberapa isu domestik, antaranya struktur ekonomi dan cara operasinya. Selain itu, suasana politik yang stabil dalam jangka masa panjang juga perlu diciptakan sehingga mewujudkan pertumbuhan ekonomi yang pesat, berterusan, seimbang dan inklusif.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China