Cari:
Keadaan Perlindungan IPR di Singapura
2016-05-03 14:54:31 CRI Cetak

Kerajaan Singapura sentiasa mengambil berat terhadap perlindungan hak harta intelek (IPR), berusaha membina republik itu menjadi pusat IPR serantau yang penting, dan secara proaktif mewujudkan suasana penyelidikan sains, perancangan polisi dan perniagaan yang berorientasikan inovasi serta memperkenalkan hasil dan ciptaan yang kreatif ke dalam pasaran.

Kini, Singapura telah disempurnakan dengan sistem perlindungan IPR yang agak lengkap. Penyertaan republik itu dalam aktiviti-aktiviti berkaitan hak harta intelek di peringkat antarabangsa amat penting bagi memastikan negara itu setanding dengan perkembangan semasa harta intelek dunia. Antara perjanjian dan konvensyen antarabangsa yang telah ditandatangani Singapura adalah seperti berikut: Konvensyen Paris 1883 yang diwujudkan bagi memperuntukkan standard perlindungan bagi harta industri yang merangkumi paten, cap dagangan dan reka bentuk perindustrian; Protokol Madrid yang berkenaan sistem pendaftaran antarabangsa bagi cap dagangan; Konvensyen Berne 1886 yang memperuntukkan standard perlindungan bagi hakcipta yang merangkumi karya-karya seni; serta menjadi anggota Pertubuhan Harta Intelek Sedunia (WIPO).

Di Singapura, perlindungan IPR merujuk kepada bidang-bidang yang luas, antaranya termasuk paten, cap dagangan, reka bentuk pendaftaran, hak cipta, litar bersepadu, petunjuk geografi, rahsia perniagaan dan sebagainya. Berdasarkan undang-undang Singapura, terdapat dua jenis hukuman yang boleh dikenakan terhadap pelanggaran IPR, iaitu hukuman bagi kesalahan sivil dan jenayah. Pesalah akan dikenakan penalti seperti denda, hukuman penjara atau kedua-duanya sekali.

Untuk menaiktarafkan perkhidmatan berhubung IPR, kerajaan Singapura mempromosikan satu platform baharu untuk memudahkan syarikat dan individu membuat pendaftaran IPR menerusi talian. Selain itu, Pejabat Harta Intelek Singapura (IPOS) juga menawarkan perkhidmatan untuk membantu syarikat domestik menyelesaikan masalah-masalah berkaitan IPR dan memperkenalkan pengetahuan berkenaan di kalangan masyarakat tempatan. Dimaklumkan, dalam tempoh tiga tahun akan datang, IPOS akan membelanjakan sebanyak SGD 1 juta (RM 2.93 juta) untuk melahirkan modal insan kejuruteraan, sains dan teknologi yang melibatkan seramai 500 orang.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China