Cari:
Malaysia Rebut Peluang Tahun Melawat ASEAN
2016-12-05 14:36:29 CRI Cetak

Negeri Johor, Malaysia akan memanfaatkan Tahun Melawat ASEAN 2017 bagi menarik lebih ramai pelancong ke negeri itu, dengan meningkatkan perkhidmatan ejen pelancongan dan memper­kenalkan produk dan pakej yang lebih menarik.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong berkata, peluang tersebut harus direbut apatah lagi Johor mempunyai produk pelancongan yang dianggap lengkap, termasuk beberapa taman tema yang kini menjadi tumpuan para pelancong.

Menurut beliau, kerajaan ne­geri turut melaksanakan beberapa langkah, antaranya termasuklah melancarkan siri promosi Xplore Johor ke negara yang mempunyai penerbang­an terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), selain memperkukuh jaringan kerja­sama dalam sektor pelancongan dengan negara ASEAN lain.

Dengan pelbagai tarikan pelancongan seperti Taman Tema Hello Kitty, Johor Premium Outlet (JPO), Legoland Malaysia dan Taman Aktiviti Angry Bird Johor Bahru, diyakini mampu menyumbang kepada peningkatan jumlah pelancong ke Malaysia, khususnya Johor.

Selain taman tema tersebut, Johor juga kaya dengan produk beli-belah, keindahan pulau dan pantai, pelancongan kesihatan dan lapangan golf bertaraf antarabangsa.

Tambah lagi beliau, kerajaan negeri akan meneruskan Misi Xplore Johor ke Jakarta, Indonesia dan Bangkok, Thailand tahun depan dalam usa­ha memperkukuh promosi, di samping membina jaringan kerjasama dalam kalangan ejen dan penyedia perkhidmatan pelancongan di kedua-dua negara berkenaan.

(sumber: Utusan Online Malaysia)

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China