Cari:
Malaysia Patahkan Cubaan Seludup 2.68 kg Dadah ke Langkawi
2017-06-06 15:47:36 CRI Cetak

Polis Malaysia menggagalkan cubaan tiga individu dipercayai keldai dadah untuk menyeludup dadah jenis heroin seberat 2.68 kilogram ke Langkawi selepas menahan mereka sebaik sahaja tiba di Terminal Jeti Kuah, Langkawi, semalam.

Ketiga-tiga suspek yang berumur 19, 20 dan 22 tahun itu ditahan bersama dadah bernilai RM400,000 di dalam sebuah beg kitar semula pada 3.30 petang.

Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff berkata, hasil pemeriksaan mendapati enam bungkusan dadah yang dibalut dengan kertas dibawa oleh suspek wanita berumur 22 tahun.

"Hasil maklumat, polis telah menahan ketiga-tiga suspek iaitu dua wanita dan seorang lelaki sebaik mereka tiba di Jeti Kuah dengan menaiki feri dari Jeti Kuala Perlis.

Kita percaya mereka datang ke Langkawi untuk menghantar bekalan dadah yang diperoleh dari Pulau Pinang," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, ini merupakan penglibatan kali ketiga ketiga-tiga suspek yang berasal dari Pendang dan Arau, Perlis.

"Hasil siasatan lanjut mendapati ini merupakan kali ketiga mereka melakukan penghantaran dadah dengan menerima upah antara RM1,000 hingga RM3,000 setiap seorang.

"Kita dapati mereka menggunakan perkhidmatan feri kerana lebih cepat dan sukar untuk dikesan oleh anggota penguat kuasa," katanya.

Ketiga-tiga suspek direman bermula hari ini sehingga 12 Jun.

Sementara itu, Asri berkata Langkawi kini dikenal pasti sebagai laluan penyeludupan dadah ekoran kedudukannya yang berhampiran dengan sempadan Thailand. -

sumber: BERNAMA

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China