Cari:
MAB Muktamadkan Pemilikan Pesawat A330
2017-06-07 09:55:32 CRI Cetak
Malaysia Airlines Bhd. (MAB) di peringkat akhir memuktamadkan pemilikan enam atau tujuh pesawat terpakai bersaiz besar, A330 bagi menampung rancangan pengembangan laluan antarabangsanya berikutan permintaan tinggi untuk tempahan musim panas.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Peter Bellew berkata, MAB sedang berbincang dengan syarikat pe­nerbangan dan pemajakan bagi membawa masuk pesawat bersaiz besar menggantikan pesawat satu lorong (single-aisle planes) yang digunakan dalam beberapa penerbangan selama lima jam seperti ke India, China dan Hong Kong.

"Kami telah melihat pesawat yang dimahukan dan sekarang kami dalam proses menjalankan usaha wajar (due diligence)," kata­nya kepada Reuters.

Beliau juga berharap untuk menandatangani perjanjian pada Julai dan membawa ma­suk pesawat-pesawat itu menjelang hujung tahun ini.

Bellew berkata, tempahan untuk tempoh enam bulan akan datang kelihatan baik, sementara kadar hasil iaitu ukuran pendapatan bagi setiap penumpang meningkat sekitar 10 peratus pada Jun, Julai dan Ogos berbanding tempoh sama tahun lepas, selepas mengalami tekanan pada awal tahun ini.

Ketidaktentuan berhu­bung kegagalan larangan perjalanan di Amerika Syarikat dan kemelut politik di Eropah telah mendorong permintaan daripada pelancong di Asia Barat dan India, tambah Bellew.

"Kami telah melihat pe­ningkatan yang ketara dalam perniagaan dari India disebabkan oleh perkara tersebut dan saya menjangkakan ianya hanya akan berterusan," kata beliau.

sumber: UTUSAN

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China