Cari:
Malaysia: MRT Mampu Kurangkan 160,000 Kenderaan Ke Pusat Bandar
2017-07-13 09:54:35 CRI Cetak

Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) menjangka penurunan 160,000 kenderaan persendirian memasuki Lembah Klang setiap hari apabila perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Kajang (Laluan SBK) beroperasi sepenuhnya mulai 17 Julai ini.

Pengarah Komunikasi Strategik dan Hal Ehwal Pihak Berkepentingan MRT, Datuk Najmuddin Abdullah optimis bahawa penggunaan perkhidmatan Laluan SBK sejauh 51km itu dapat menangani masalah kesesakan lalu lintas secara drastik di ibu kota.

"Apabila anggaran 400,000 penumpang menggunakan Laluan SBK setiap hari, ini bermakna kami menjangka dapat mengurangkan 160,000 kenderaan di atas jalan setiap hari."

"Sebuah tren dengan empat gerabak boleh membawa 1,200 penumpang dengan selesa...bayangkan ruang yang diperlukan jika setiap penumpang ini terus menggunakkan kenderaan masing-masing untuk berulang-alik dari rumah ke tempat kerja."

"Jika jumlah penumpang ini meninggalkan kereta masing-masing di rumah dan mengambil tren, bayangkan ruang kosong yang dapat diwujudkan di atas jalan serta pemilik kenderaan dapat menjimatkan masa dan kos perbelanjaan.

Beliau berkata hampir dua juta orang telah menggunakan perkhidmatan MRT sejak fasa pertama Laluan SBK meliputi jarak sepanjang 21km dari Sungai Buloh ke Semantan mula beroperasi sejak Disember tahun lepas.

Fasa dua Laluan Semantan-Kajang, sepanjang 30km, yang melengkapkan jajaran MRT SBK, akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 17 Julai ini.

Bagi kemudahan pemilik kenderaan, Najmuddin berkata MRT menyediakan 14 tempat letak kereta bertingkat dan terbuka dengan 8,000 petak di stesen-stesen sepanjang Laluan SBK bagi menggalakkan lebih ramai orang menggunakan perkhidmatan itu untuk berulang-alik ke pusat bandar.

Tambahan pula, sejumlah 300 bas pengantara akan beroperasi bagi membawa orang ramai ke stesen berdekatan dengan setiap bas berkapasiti 62 penumpang dengan kekerapan setiap 10 minit, katanya.

"Rapid Rail, operator MRT, meramalkan bilangan pengguna akan meningkat 10 kali ganda pada masa masa akan datang daripada purata 15,000 penumpang sehari kepada 150,000 penumpang sebaik sahaja fasa dua laluan Semantan-Kajang dibuka," katanya.

Beliau berkata satu lagi faktor yang akan menggalakkan orang ramai menggunakan kemudahan tersebut ialah faktor tambang yang berpatutan.

Misalnya, beliau berkata, tambang tiket dari Sungai Buloh ke Kajang hanya RM5.50 dengan penggunaan kad Touch N\' Go dan RM6.40 untuk bayaran tunai dan masa perjalanan adalah kira-kira 80 minit.

"Bayangkan jika anda memandu dari Sungai Buloh ke Kajang dari segi masa, kos petrol, tol serta tekanan yang anda perlu lalui tetapi dengan menggunakan perkhidmatan MRT, anda mendapat banyak faedah dari segi ekonomi, penjimatan kos dan masa serta kurang stres serta dapat melakukan perjalanan dengan selesa," katanya.

Pada keseluruhan, Laluan SBK mempunyai 31 stesen dengan 19 stesen baharu bagi fasa kedua laluan Semantan-Kajang di mana tujuh merupakan stesen bawah tanah.

Stesen laluan Semantan-Kajang terletak di Muzium Negara, Pasar Seni, Bukit Bintang, Tun Razak Exchange Centre, Maluri, Cochrane, Taman Pertama, Taman Midah, Taman Connaught.

Taman Mutiara, Suntex, Sri Raya, Bandar Tun Hussein Onn, Batu 11, Cheras, Bukit Dukung, Sungai Jernih, Merdeka, Stadium Kajang dan stesen Kajang.

-- BERNAMA

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China