Cari:
Malaysia Antara 10 Negara Terjejas HIV
2017-07-24 11:26:35 CRI Cetak
Malaysia merupakan antara 10 negara, yang secara keseluruhannya, menyumbang kepada lebih 95 peratus bagi semua jangkitan baharu virus HIV di rantau Asia Pasifik, demikian menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Bertajuk Ending AIDS: Progress Towards the 90-90 Targets, laporan itu dikumpulkan oleh Program Bersama PBB mengenai HIV/AIDS (UNAIDS).

Agensi berkenaan berkata, sembilan negara Asia Pasifik lain dengan jangkitan baharu HIV meluas pada 2016 adalah India, China, Indonesia, Pakistan, Vietnam, Myanmar, Papua New ­Guinea, Fili­pina dan Thailand.

Laporan sama juga me­netapkan sasaran untuk tahun 2020 supaya 90 peratus penghidap HIV mendapat akses rawatan antivirus.

Menurut UNAIDS, lebih separuh daripada penghidap HIV kini mempunyai akses kepada rawatan, manakala kematian akibat AIDS dapat dikurangkan hampir 50 peratus sejak tahun 2005.

Jangkitan HIV di 10 negara berkenaan berlaku terutamanya dalam kalangan pekerja seks dan pelanggan mereka, lelaki gay, penagih dadah yang menggunakan jarum suntikan dan orang transgender.

Bagaimanapun, laporan itu turut menyatakan bahawa angka tahunan jangkitan baharu HIV menurun 13 peratus sejak enam tahun lalu, daripada 310,000 kes pada 2010 kepada 270,000 kes tahun lalu.

Kata UNAIDS lagi, kira-kira 19.5 juta daripada 36.7 juta penghidap HIV di seluruh dunia kini mempunyai akses kepada rawatan, manakala kematian berkaitan AIDS pula berkurangan daripada 1.9 juta orang pada 2005 kepada satu juta pesakit tahun lalu.

UNAIDS menetapkan sasaran 30 juta penghidap HIV di seluruh dunia akan mendapat akses kepada rawatan menjelang 2020.

sumber: Bernama

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China