Cari:
Pasaran Modal Malaysia Naik 9%
2017-07-26 10:09:43 CRI Cetak

Pasaran modal Malaysia meningkat sembilan peratus kepada RM3.1 trilion dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini dan kini menduduki tempat kelima di Asia sejajar dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia terus menarik minat pelabur dalam dan luar negara dengan jumlah aliran masuk bersih pasaran ekuiti sebanyak RM11 bilion pada separuh pertama tahun ini berbanding RM3 bilion aliran keluar bagi keseluruhan 2016.

Katanya, negara juga menjadi lokasi utama kepada syarikat tersenarai di ASEAN dan Bursa Malaysia juga telah mencatatkan dana sebanyak AS$29 bilion (RM124.2 bilion) yang diperoleh dalam lima tahun lepas, dana tertinggi dalam kalangan 10 anggota perkumpulan itu.

"Angka lain yang menyokong keyakinan di Malaysia termasuk perdagangan pada suku pertama meningkat sebanyak 24.3 peratus kepada RM430.5 bilion berban­ding tempoh sama tahun lepas, dengan eksport melebihi paras RM80 bilion untuk kali pertama pada Mac. Angka RM82.63 bilion itu adalah angka bulanan ter­tinggi bagi eksport Malaysia yang pernah direkodkan.

"Di samping itu, mata wang ringgit juga digambarkan oleh Bloomberg baru-baru ini sebagai mata wang Asia utama yang terkuat bagi suku ini, naik dua kali seperti mata wang terbaik sete­rusnya iaitu yuan China.

"Semua ini dapat disimpulkan bahawa ekonomi kita terus maju dan lebih kuat dari sebelum­nya hasil daripada pembaharuan dan program yang telah dilaksanakan oleh kerajaan," katanya dalam ucaptama Invest Malaysia Kuala Lumpur (IMKL) 2017 semalam.

Pada majlis yang sama, Najib turut melancarkan Pasaran Platform Pemecut Usahawan Utama (LEAP), pasaran baharu di Bursa Malaysia bagi memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

sumber: Utusan

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China