Cari:
China, Brunei, Rancang Kerjasama Masa Depan
2017-09-14 14:57:35 CRI Cetak

Presiden China, Xi Jinping telah mengadakan pertemuan dengan Sultan Brunei Darussalam, Sultan Hassanal Bolkiah di Dewan Besar Rakyat, Beijing, semalam.

Kedua-dua pemimpin mencapai kata bulat untuk bersama-sama merancang kerjasama pada masa depan, dan mendorong perkembangan lebih besar dalam hubungan antara satu sama lain pada era baharu ini demi manfaat seluruh rakyat.

Xi menyatakan bahawa sejak terjalinnya hubungan diplomatik antara China dan Brunei, kerjasama strategik yang dicapai telah membuahkan hasil ketara.

China menyanjung tinggi penglibatan aktif Brunei dalam inisiatif "Jalur dan Laluan" (B&R), dan bersedia bersama-sama dengan Brunei mengukuhkan sinergi dalam bidang infrastruktur, sumber tenaga, produk halal, perikanan dan pertanian serta ekonomi digital.

Sementara itu, kerjasama dalam bidang kebudayaan, pendidikan, sukan, kesihatan, pelancongan dan media perlu ditingkatkan lagi bagi memenuhi aspirasi rakyat yang inginkan persahabatan.

Kedua-dua pihak juga akan terus meningkatkan kerjasama dalam hal ehwal serantau dan antarabangsa serta penyelarasan dalam rangka PBB dan APEC.

Xi Jinping menyatakan bahawa kini situasi Laut China Selatan stabil. China bersedia bersama-sama dengan Brunei dan pelbagai pihak terlibat untuk membina Laut China Selatan menjadi laut yang aman, yang dilimpahi persahabatan dan kerjasama.

Sultan Hassanal Bolkiah pula mengucapkan tahniah atas kemajuan cemerlang yang dicapai China dalam pembangunan negara, dan menyatakan sokongan kepada inisiatif B&R serta keyakinan terhadap kemampuan China untuk merealisasikan impian kebangkitan semula bangsa dan negara.

Beliau berkata, Brunei akan terus menyokong dasar 'Satu China'. Syarikat China dialu-alukan melabur dan berurus niaga di Brunei, dan Brunei bersedia menjalankan kerjasama pragmatik dengan China dalam bidang pertanian, perikanan, sumber tenaga, pembinaan infrastruktur, produk halal dan ekonomi digital.

Brunei mahu mengekalkan pertukaran peringkat tinggi dengan China, memperluas pertukaran sosiobudaya, mempertahankan keamanan dan kestabilan Laut China Selatan dan terus mendorong perkembangan hubungan ASEAN dengan China.

Perdana Menteri China, Li Keqiang yang juga ditemui Sultan Hassanal Bolkiah petang semalam telah menyanjung tinggi peranan Brunei yang bersifat membina dalam mendorong perkembangan hubungan China dengan ASEAN. China akan terus menyokong proses integrasi Komuniti ASEAN dan kedudukan ASEAN sebagai hab kerjasama serantau.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China