Pesta Kuih Bulan
中国国际广播电台


Pesta Kuih Bulan China merupakan pesta kebudayaan tradisional utama China. Pesta itu juga dinamakan Pesta Bulan 8, Pesta Mengekori Bulan, Pesta Menyembah Bulan, Pesta anak Perempuan atau Pesta Berkumpul.

Menurut dongengan, pada zaman purba, terdapat 10 buah matahari di langit, cahaya matahari yang panas terik menyebabkan tanah kering dan berasap, air di laut kering tersejat dan rakyat jelata menghadapi maut.

Seorang pahlawan yang juga Raja Negeri Youqiong Dinasti Xia bernama Hou Yi mempunyai kuasa misteri dan pandai memanah. Baginda dengan gagah berani memanah jatuh 9 buah matahari, rakyat jelata memuja Hou Yi yang menyelamatkan mereka dari ancaman maut.

Permaisuri Hou Yi bernama Chang E, merupakan seorang jelitawan. Pada suatu hari, Hou Yi memperolehi ubat panjang umur yang dihadiahkan oleh Permaisuri Wangmuniangniang. Katanya orang yang makan ubat panjang umur itu segera akan menjadi dewa atau dewi dan terbang ke kayangan. Hou Yi tidak mahu berpisah dengan permaisurinya, maka baginda tidak memakan ubat itu dan menyerahkan ubat itu kepada permaisurinya Chang E untuk disimpan. Perkara ini ternampak oleh Peng Meng, pengikut Hou Yi. Semasa Hou Yi keluar, Peng Meng pergi ke istana Hou Yi dan memaksa Chang E memberikan ubat panjang umur itu kepadanya. Chang E mengetahui bahawa dia tidak berdaya melawan Peng Meng, dia terpaksa memakan ubat panjang umur itu. Setelah memakan ubat itu, Chang E terbang dari bumi ke bulan serta-merta.

Apabila Hou Yi kembali ke istana, para dayang sambil menangis telah memberitahu perkara itu kepada Hou Yi. Hou Yi yang sedih menyeru permairusinya di bulan. Baginda mendapati bulan pada malam itu sangat bulat, besar dan terang dan dapat nampak bayang permaisurinya yang bergerak di bulan. Hou Yi bersembahyang untuk permaisurinya Chang E di bulan dengan meletakkan makanan yang disukai oleh permaisurinya.

Setelah mengetahui Chang E terbang ke bulan dan menjadi dewi, rakyat jelata juga beramai-ramai bersembahyang dengan meletakkan pelbagai jenis makanan semoga Chang E di bulan menganugerahkan keamanan dan kesejahteraan kepada mereka. Lama-kelamaan, menyembahyangkan bulan pada 15 hb, bulan 8 imlek Cina telah menjadi adat-resam rakyat China dan menjadi Pesta Kuih Bulan China. 

Walaupun terdapat banyak cerita dongeng yang berbeza tentang asal-usul Pesta Kuih Bulan di China, tetapi makan kuih bulan merupakan perkara penting dalam Pesta Kuih Bulan China. Pada Pesta Kuih Bulan iaitu malam 15 hb, bulan 8 imlek Cina, anggota keluarga orang Cina berkumpul dan bersama-sama menikmati pemandangan indah bulan purnama sambil makan kuih bulan yang enak.

Cara pelbagai etnik China merayakan Pesta Kuih Bulan adalah berlainan. Ketika merayakan Pesta Kuih Bulan, masyarakat etnik Zhuang China menyembahyangkan bulan dengan menghidangkan samsu, para gadis memasang tanglung yang cantik di permukaan air sungai dan tasik untuk mendoakan kebahagiaan seumur hidup, rakyat etnik Korea China memalu gendang panjang dan menari bersama-sama, teruna etnik Dong bersiar-siar dan mengutarakan perasaan cinta kepada kekasih, manakala pemuda-pemudi etnik Dai melepaskan tembakan senapang ke udara, minum samsu dan bernyanyi bersama-sama, mereka juga memilih kekasih dengan peluang ini.

Pesta Kuih Bulan bukan sahaja merupakan perayaan tradisional rakyat China, tetapi juga merupakan perayaan tradisional orang Cina seluruh dunia. Walaupun zaman sudah berbeza, tetapi Pesta Kuih Bulan tetap merupakan kesempatan bagi orang Cina untuk mengutarakan perasaan akrab antara anggota keluarga dan sanak saudara serta berdoa memohon restu dan nasib baik.