Kalendar "24 Musim": Qing Ming

2018-03-07 14:04:27  CRI
Share with:

图片默认标题_fororder_qingmingjiexh

 

Kalendar "24 Musim" China yang bersejarah lebih 2000 tahun merupakan hasil kajian rakyat China setelah menjalankan cerapan cakerawala dan membuat pemerhatian yang teliti dalam bidang meteorologi dan juga warisan budaya yang unik. Kalendar tersebut dapat menjangkakan perubuhan suhu udara, penurunan hujan serta cuaca dan telah menjadi alat yang sangat berguna bagi kaum tani kerana daripada kalendar itu, mereka boleh mengetahui masa yang paling sesuai untuk melakukan aktiviti pertanian seperti penanaman dan penuaian.

 

Kalendar "24 musim" merupakan satu sistem yang membahagikan masa setahun kepada 24 penggal yang panjangnya hampir sama dan perubahan iklimnya tidak besar. Hari pertama setiap penggal telah diberi nama seperti "permulaan musim bunga", "hujan" dan "serangga terjaga".

 

"Qing Ming" biasanya jatuh pada 4 hb, 5 hb atau 6 hb bulan April setiap tahun. Selepas berlalunya hari "Qing Ming", jumlah penurunan hujan akan meningkat. Ini merupakan syarat yang baik bagi aktiviti penanaman pada musim bunga.

 

Dalam budaya tradisional China, "Qing Ming" juga merupakan hari untuk memuja nenek moyang dan telah disenaraikan sebagai warisan budaya bukan benda negara ini. Berdasarkan catatan sejarah, adat resam pemujaan nenek moyang oleh orang China pada hari "Qing Ming" sudah mempunyai sejarah selama lebih 2500 tahun.

 

Menziarahi dan membersihkan kubur nenek moyang merupakan aktiviti yang paling penting pada hari "Qing Ming". Adat resam itu bukan sahaja diamalkan oleh etnik Han, tetapi juga oleh beberapa kaum minoriti yang lain.

 

Pada hari "Qing Ming", orang ramai akan menziarahi ke kawasan perkuburan, membakar colok, meletakkan makanan dan buah-buahan di depan jirat kaum keluarga dan menimbuni tanah di atas jirat lama supaya jirat itu menjadi lebih tinggi dan kukuh. Selepas itu, ahli keluarga akan menjalani upacara penyembahan kepada nenek moyang dan mencurahkan minuman di depan jirat.

 

Data-data meteorologi menunjukkan bahawa kebanyakan kawasan di China biasanya mengalami hari mendung atau hari hujan pada hari "Qing Ming". Suasana ini akan menyebabkan bertambahnya rasa sedih dan rasa rindu orang ramai terhadap orang yang sudah pergi.

 

图片默认标题_fororder_qingmingtachun

 

Penyajak terkenal China pada abad ke-9 Masihi, Du Mu pernah menulis sajak "Qing Ming" yang berbunyi "hujan turun tidak henti-henti pada hari 'Qing Ming', mereka yang dalam perjalanan untuk menziarahi kubur kaum keluarga juga kelihatan berperasaan sedih yang amat sangat…"

 

Hingga hari ini, orang China masih mengamalkan adat resam yang diwarisi secara turun-temurun. Oleh sebab China mengamalkan peraturan pembakaran mayat, maka orang ramai biasanya hanya meletakkan bunga-bungaan di depan jirat kaum keluarga pada hari "Qing Ming".

 

Walau bagaimanapun, hari "Qing Ming" bukanlah hanya dikaitkan dengan kesedihan, tapi juga dikenali sebagai musim untuk memijak rumput-rumput yang kembali menghijau iaitu tibanya masa orang ramai keluar untuk menikmati keindahan musim bunga.

 

Berdasarkan catatan sejarah, rakyat China pada zaman purba mempunyai pelbagai aktiviti yang menarik sempena hari tersebut. Selain keluar ke luar bandar, berbuai dan cuju, main layang-layang juga turut digemari.

Di sini, saya ingin menjelaskan: Apakah cuju? Cuju ialah sejenis bola yang diperbuat daripada kulit dan diisikan dengan bulu binatang. Cara bermain cuju ialah sekumpulan orang menyepak bola itu dengan kaki mereka.

Sejak awal-awal lagi, permainan itu telah menjadi popular di beberapa tempat di China pada lebih 2200 tahun yang lalu. Pada awal tahun 2004, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa telah mengiktiraf bahawa cuju merupakan permainan bola sepak yang paling awal yang pernah direkodkan. 

王瑾