Bahasa Cina Popular di Thailand

2019-07-15 14:55:45  CRI
Share with:

Seramai 115 guru mengikuti kursus latihan bahasa Cina di selatan Thailand pada 13 hingga 16 Julai, anjuran bersama pejabat Institut Konfusius di Thailand dan Institut Konfusius Phuket.

Institut Konfusius Phuket di bawah Universiti Putera Songkhla (PSU) selaku pusat pengajaran bahasa Cina paling besar di selatan Thailand, berperanan untuk melatih guru tempatan. 

Setiausaha Pertama Pejabat Pendidikan Kedutaan Besar China, Song Ruoyun berkata, kerajaan Thailand amat mementingkan pengajaran bahasa Cina dan telah menyusun skim untuk meningkatkan kualiti dan keefisienan pengajaran. Latihan berkenaan selaras dengan keperluan semasa.

Beliau menyatakan Thailand negara penting dalam usaha sama membangunkan Jalur dan Laluan. Kerjasama dan interaksi antara China dan Thailand kini memasuki fasa komprehensif melibatkan bidang luas. Berikutan sinergi semakin rapat termasuk pembinaan landasan kereta api, kewangan dalam talian, data raya dan tenaga baharu, keperluan untuk menguasai bahasa Cina semakin meningkat dalam sektor awam dan pelbagai lapisan masyarakat tempatan.

Presiden kampus PSU di Phuket, Dr. Pum Thongchumnum berkata, PSU antara universiti yang paling berprestij di Thailand. Selepas menjalinkan kerjasama dengan Institut Konfusius, banyak pihak termasuk tadika, sekolah rendah, sekolah menengah, komuniti, persatuan orang Cina, malah agensi kerajaan memohon untuk belajar bahasa Cina hingga menyebabkan tenaga pengajar tidak mencukupi. Oleh yang demikian, adalah mendesak untuk memupuk tenaga pengajar berkualiti. 

Selain itu, banyak kursus di universiti ditawarkan dalam bahasa Cina. Program mengasah kemahiran berasaskan bahasa Cina amat popular.

PSU juga membuka program perniagaan dan pelancongan dalam bahasa Cina. Setiap tahun, kira-kira 500 pelajar dipilih untuk melanjutkan pembelajaran di China.

 

张哲