Kemudahan VOA di Enam Pintu Masuk Tambahan untuk Plancong China, India

2019-07-21 14:11:15  CRI
Share with:
Kemudahan visa semasa ketibaan (VOA) untuk pelancong dari China dan India telah diperluaskan di enam pintu masuk tambahan bermula 15 Julai lepas bagi menyokong promosi Tahun Melawat Malaysia 2020, kata Kementerian Dalam Negeri (KDN).

KDN dalam kenyataan berkata pintu masuk tersebut ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di Kedah, Lapangan Terbang Antarabangsa Miri dan ICQS Sungai Tujoh di Sarawak, Terminal Feri Labuan dan Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz Shah (Skypark Subang).

Bagaimanapun, katanya kemudahan VOA itu hanya diberikan kepada pelancong China dan India yang memasuki Malaysia melalui negara ketiga iaitu Brunei, Indonesia, Singapura dan Thailand sahaja.

"Ia tertakluk kepada syarat melepasi tapisan kawalan imigresen dan bebas daripada ancaman keselamatan," katanya.

Bagi merangsang ketibaan pelancong dan meningkatkan perbelanjaan semasa melawat Malaysia serta menggalakkan pelancong berbelanja lebih di dalam negara, KDN berkata kemudahan VOA juga telah ditambah baik.

KDN berkata tempoh keberadaan di Malaysia bagi tujuan melancong juga dilanjutkan sehingga 15 hari berbanding tujuh hari sebelum ini, manakala kadar fi visa VOA dikurangkan daripada RM330 kepada RM200.

Selain itu, katanya syarat wang tunjuk dikurangkan daripada US$1,000 kepada US$500 dan dikemukakan sama ada dalam bentuk tunai, cek kembara, kad kredit, kad debit atau wang elektronik yang diiktiraf oleh Bank Negara Malaysia.

(Sumber dari BERNAMA)

 

张弘