Mesyuarat Menteri Luar 10+1 Berhasil

2019-08-02 14:31:32  CRI
Share with:

Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN dengan China (10+1) yang diadakan di Bangkok kelmarin, telah membuahkan hasil yang positif, termasuk konsensus penting yang dicapai dalam aspek ekonomi, keselamatan dan budaya.

Pada tahun-tahun kebelakangan ini, kerjasama antara kedua-dua pihak berjalan lancar. China bergelar rakan dagang terbesar bagi ASEAN untuk 10 tahun berturut-turut, manakala ASEAN kini rakan dagang kedua terbesar bagi China.

Para menteri luar bersependapat bahawa hubungan rakan dialog ASEAN dengan China adalah perkongsian yang paling penting, paling dinamik dan paling menguntungkan bagi ASEAN.

Kata sepakat telah dicapai untuk meningkatkan penyelarasan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dengan Pelan Induk Kesalinghubungan ASEAN 2025. Rundingan berkenaan akan dimulakan dan dimuktamadkan sebelum sidang kemuncak yang dijadualkan pada November nanti.

Kemajuan juga dilihat dalam usaha sama untuk menggubal peraturan serantau. Pusingan pertama bacaan teks rundingan draf tunggal mengenai Kod Tatalaku (CoC) di Laut China Selatan telah selesai lebih awal daripada jadual. Ini menandakan rangka CoC telah dibentuk, mencerminkan ketabahan semua pihak terlibat untuk bersama-sama memelihara kedamaian dan kestabilan di Laut China Selatan.

CoC yang dikatakan satu penaiktarafan terhadap Deklarasi Tatalaku (DoC) dan China sentiasa memainkan peranan selaku penggalak utama dalam rundingan tersebut. Asalkan semua pihak bergabung tenaga, saling percaya dan bergerak sehaluan, proses rundingan nescaya dapat diselesaikan dalam masa tiga tahun yang ditetapkan.

Fakta menunjukkan, China selaku rakan dagang utama bagi ASEAN, ikhlas dan bersungguh-sungguh memperkasakan kerjasama serantau. Asalkan semua pihak berpegang pada prinsip kerjasama, terbuka dan toleransi serta bersama-sama menghargai ketenteraman sekarang, prospek kerjasama China-ASEAN pasti menjadi lebih cerah.

胡星