Aneh Kaitkan Tarif Opioid dan Candu

2019-08-20 10:26:30  CRI
Share with:

Nama Donald Trump sekali lagi menjadi sebut-sebutan apabila presiden itu menghubungkaitkan isu penyalahgunaan opioid di Amerika Syarikat dengan masalah perdagangan antara dua entiti ekonomi besar dunia.

Bekas ketua editor akhbar The Straits Times Singapura, Leslie Fong dalam rencananya baru-baru ini cuba mengupas perkaitan antara tarif dengan opioid dan candu, satu perkara yang cukup mengelirukan dan dipersoalkan ramai.

Rencana itu menyebut, ketika pusingan baharu rundingan perdagangan berjalan lancar, Trump tiba-tiba mengumumkan penambahan tarif terhadap produk China bernilai USD300 bilion (RM1.23 trilion) bermula 1 September. Antara alasan yang diberikan, "China tidak menghalang kemasukan fentanyl ke AS".

Jika ini strategi berunding Trump, nescaya akan mengundang kecewa buat pihaknya. Aneh sekali krisis dadah sendiri dikaitkan dengan perdagangan luar. Siapakah sebenarnya yang akan mendapat untung daripada tindakan sedemikian?

Padahal, punca asal berlaku krisis opioid di AS ialah kegagalan pengeluar ubat-ubatan tempatan memberi amaran secukupnya mengenai risiko ketagihan produk mereka. Syarikat-syarikat berkenaan bahkan menggalakkan doktor memberikan ubat berkenaan kepada pesakit.

Sudah kalah baru berkubu, begitulah AS yang baru mula melarang penggunaan ubat-ubatan mengandungi opioid hanya selepas masalah penyalahgunaannya berleluasa. Maka penagih beralih pula kepada bahan lain seperti oxycodone, fentanyl dan tramadol. Asalkan ada bahannya, fentanyl amat mudah dihasilkan di mana-mana makmal dan boleh dikirim ke AS dari mana-mana sumber sekalipun. Tidak masuk akal untuk AS menyasarkan kritikannya dalam isu ini ke arah China.

Jika direnungkan, terdapat ironi dalam situasi semasa AS. Pada abad ke-19, AS sama seperti Britain yang mendapat keuntungan berlimpah ruah daripada penjualan candu kepada China. Lebih seperlima jualan candu di China pada masa itu dijalankan oleh pedagang AS. Tidak sampai 200 tahun kemudian, AS menyalahkan China kerana krisis dadah di tanah sendiri. Adakah ini balasannya?

覃淼