Perdana Menteri Li Keqiang mengulangi komitmen China untuk mengekalkan jalan pembangunan secara damai dan strategi keterbukaan yang saling untung, semasa menghadiri Sidang Kemuncak China-ASEAN ke-22 di Bangkok semalam.
Beliau menyatakan China bersedia menyelaraskan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dengan strategi pembangunan ASEAN serta anggotanya.
Katanya, hubungan dialog 10+1 ini telah membawa faedah kepada seluruh rantau. China sentiasa menyokong ASEAN memainkan peranan utama dalam kerjasama Asia Timur.
Kini, timbul banyak cabaran baharu ekoran meningkatnya tekanan kemerosotan ekonomi dunia. China dan ASEAN patut mempertahankan multilateralisme dan perdagangan bebas demi pembangunan bersama.
Li berharap rundingan perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) selesai seawal mungkin bagi meletakkan asas kepada integrasi ekonomi Asia Timur. Versi baharu Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA) juga harus dilaksanakan bersungguh-sungguh untuk menggalakkan liberalisasi perdagangan dan pelaburan.
Menyentuh persahabatan, Li berkata ikatan hendaklah diwarisi dari generasi ke generasi sambil merancakkan pertukaran sosiobudaya. China bersedia melatih 1,000 pengurus kesihatan dan juruteknik untuk ASEAN dalam tiga tahun akan datang, selain terus menawarkan biasiswa kepada belia.
Kesalingpercayaan strategik demi ketenteraman serantau juga diberi penekanan dalam ucapan Li.
Pada tahun lalu, China mengemukakan sasaran memuktamadkan Kod Tatalaku (CoC) di Laut China Selatan dalam tiga tahun. Draf CoC sudah selesai diteliti untuk pusingan pertama, disusuli pusingan kedua yang telah pun dilancarkan.
Para pemimpin ASEAN mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah atas ulang tahun ke-70 Republik Rakyat China.
Mereka berpendapat hubungan dengan China antara yang paling dinamik, dan memuji pencapaian baharu dalam kerjasama sepanjang setahun lalu.
ASEAN bersedia aktif menyertai pembangunan bersama BRI dan memperluas sinergi melibatkan kesalinghubungan, inovasi teknologi, e-dagang, bandar pintar dan ekonomi biru.
Blok itu juga mahu mempertingkat pelaburan, menyasarkan perdagangan bilateral melebihi USD1 trilion seawal mungkin.
Tiga perkara diumumkan pada sidang kemuncak kali ini, iaitu rancangan untuk menyusun pelan tindakan berkaitan perkongsian strategik China-ASEAN bagi tempoh 2021 hingga 2025; kenyataan mengenai kerjasama BRI, bandar pintar dan media; Tahun Kerjasama Ekonomi Digital 2020.