Kerjasama Asia Timur Terus Dinaik Taraf

2019-11-04 21:18:25  CRI
Share with:

Kenaikan nilai dan penaiktarafan, dua ungkapan yang disebut-sebut pada siri persidangan pemimpin kerjasama Asia Timur yang diadakan di Bangkok.

Dalam taklimat media selepas persidangan tersebut, Naib Menteri Luar China, Le Yucheng menyatakan semua pihak bersependapat bahawa kerjasama Asia Timur semakin bernas, yang dapat dilihat dari segi mekanisme kerjasama, integrasi ekonomi, kesalinghubungan, kerjasama inovatif dan interaksi sosiobudaya.

Mekanisme kerjasama seperti ASEAN+1 dan ASEAN+3 telah dimanfaatkan untuk menangani dua kali krisis kewangan, yang membantu mengekalkan momentum pembangunan dan kemakmuran serantau.

Pada persidangan di Bangkok semalam, 15 anggota Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) telah selesai merundingkan draf perjanjian serta akses pasaran. Perjanjian akan dimeterai secara rasmi tahun depan. Ini satu kemajuan signifikan dalam integrasi ekonomi serantau, menandakan akan lahirnya zon perdagangan bebas terbesar dan paling berpotensi.

Dalam aspek kesalinghubungan, projek-projek mega seperti landasan kereta api yang menyambung China dengan Thailand dan dengan Laos sedang berjalan lancar, sementara kerjasama infrastruktur diperkukuh.

Tahun depan ialah Tahun Kerjasama Ekonomi Digital China-ASEAN. Kedua-dua pihak akan memperhebat kerjasama khususnya melibatkan data besar, kecerdasan buatan (AI), e-dagang dan bandar pintar, di samping giat membentuk perkongsian ekonomi biru bagi menggalakkan pembangunan mampan ekonomi marin.

Interaksi sosiobudaya juga menyaksikan kemajuan ketara. China dan ASEAN telah menjalin 201 pasangan bandar bersahabat setakat ini, dan menjadi destinasi pelancongan utama bagi satu sama lain. China juga tumpuan bagi pelajar ASEAN melanjutkan pelajaran, dengan jumlahnya mencatat hampir 100 ribu.

Berhubung isu Laut China Selatan pula, Deklarasi Tatalaku (DoC) Pihak-Pihak Berkepentingan makin dinaik taraf. Draf Kod Tatalaku (CoC) sudah selesai diteliti untuk pusingan pertama, disusuli pusingan kedua yang telah pun dilancarkan, dengan sasaran CoC dimuktamadkan menjelang 2021 atau lebih awal.  Kesemua ini besar maknanya bagi keamanan dan kestabilan di perairan tersebut.        

梁靓