Presiden China, Vietnam Bual Melalui Telefon

2020-01-16 15:35:06  CRI
Share with:

Presiden China, Xi Jinping telah berbual-bual dengan rakan sejawatnya dari Vietnam, Nguyen Phu Trong melalui telefon pagi tadi.

Xi menyatakan tahun ini ulang tahun ke-70 ikatan diplomatik China dan Vietnam, juga tahun yang signifikan dalam perjuangan sosialisme masing-masing.

Beliau berasa gembira dapat berbual-bual dengan rakan sejawatnya tatkala rakyat bersedia untuk menyambut ketibaan Tahun Baharu Cina.

Pada tahun-tahun kebelakangan ini, kedua-dua presiden mengekalkan komunikasi rapat hingga melahirkan banyak konsensus penting berkaitan perkembangan hubungan bilateral. Kemajuan positif ini menyuntik momentum baharu kepada perjuangan sosialis negara masing-masing, malah menyumbang kepada pembangunan secara damai di seluruh rantau dan dunia.

Perjuangan sosialis China dan Vietnam berkembang maju, namun tetap berdepan semakin banyak risiko dan cabaran.

Xi menyuarakan hasrat untuk memperkukuh komunikasi strategik dengan rakan sejawatnya, bagi menggaris hala tuju hubungan bilateral pada era baharu ini.

Beliau turut menekankan perlunya menaiktarafkan pertukaran dan kerjasama dua hala, di samping merancakkan pembangunan bersama Jalur dan Laluan demi kesejahteraan rakyat.

Nguyen Phu Trong pula memuji pencapaian cemerlang yang dilakar China sejak pelaksanaan dasar pembaharuan dan pintu terbuka pada 40 tahun lalu.

Katanya, Vietnam mahu mempertingkat kesalingpercayaan politik dan perkongsian pengalaman pentadbiran negara sambil menggalakkan kerjasama praktikal dalam pelbagai bidang, hingga membawa kemajuan lebih besar kepada hubungan dua hala.

Dua presiden turut mengambil kesempatan untuk saling mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada rakyat kedua-dua negara.

高蕾