Berganding Bahu Atasi Wabak

2020-02-20 21:04:55  CRI
Share with:

Mesyuarat khas menteri-menteri luar China-ASEAN tentang wabak koronavirus baharu (COVID-19) diadakan di Vientiane, Laos semalam. Selepas mesyuarat, Menteri Luar China, Wang Yi bersama-sama rakan sejawatnya dari Laos, Saleumxay Kommasith dan Teodoro Lochen dari Filipina bertemu dengan para wartawan.

 

Wang Yi berkata, beliau dan rakan-rakan sejawatnya dari 10 negara anggota ASEAN telah mencapai konsensus penting bagi menangani wabak kali ini. Mereka berpendapat China dan anggota blok itu perlu berganding bahu dan sokong-menyokong bagi mengharungi masa yang sukar ini. Beberapa menteri pula mencadangkan untuk mengadakan sidang kemuncak khas China-ASEAN apabila perlu, bagi meningkatkan kerjasama kesihatan awam serta menetapkan hala tuju kepada usaha menjamin kesihatan rakyat di rantau ini.

 

Telesidang antara pakar perubatan klinikal dari China dan pelbagai negara ASEAN turut diadakan bagi berkongsi pengalaman dalam aspek diagnosis dan rawatan.

 

Wang Yi berkata, China dan ASEAN sebuah keluarga yang berkongsi masa depan yang sama. Meningkatkan perpaduan dan kerjasama merupakan satu-satunya pilihan yang munasabah. Untuk melawan wabak COVID-19, para menteri bersetuju untuk menumpukan usaha dari empat aspek.

 

Pertama, mempergiat penyelarasan dan kerjasama melibatkan pencegahan dan kawalan wabak, termasuk dari segi kuarantin, pengangkutan dan keluar masuk di sempadan.

 

Kedua, menubuhkan mekanisme kerjasama jangka panjang, selain pusat rizab bahan-bahan keperluan melawan wabak.

 

Ketiga, menghadapi wabak dengan sikap munasabah dan mengelakkan daripada tercetusnya panik. Kewibawaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) perlu dihormati, manakala interaksi dan kerjasama normal dipulihkan secara menyeluruh secepat mungkin.

 

Dan keempat, menjadikan krisis sebagai peluang dan meneroka titik pertumbuhan kerjasama baharu. Transformasi ekonomi kepada ekonomi siber dan digital perlu dipercepat, sejajar kerjasama lebih kukuh dalam bidang-bidang seperti e-dagang dan dompet digital. 

 

Tambahnya, rasa panik lebih menggerunkan berbanding virus, manakala keyakinan lebih berharga daripada emas. Walaupun wabak memberikan impak terhadap ekonomi China, namun kesannya hanya sementara. Kerjasama antara China dengan ASEAN nescaya akan dipertingkat lagi melalui perjuangan Bersama untuk mengatasi wabak kali ini.

王瑾