Beku Dana, Perbuatan Bahaya

2020-04-16 15:16:05  CRI
Share with:

Tindakan Washington menggantung dana kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hanya dapat digambarkan sebagai perbuatan yang membahayakan kepentingan manusia sejagat termasuk rakyat AS sendiri.

Pada masa ini, situasi pencegahan dan kawalan wabak COVID-19 makin genting selepas jumlah kes jangkitan di seluruh dunia sudah melepasi paras dua juta. Keputusan untuk membekukan dana ketika dunia bergelut kesukaran yang sebegini besar bukan sahaja akan melemahkan kerjasama melawan wabak malah dianggap satu pengkhianatan terhadap komitmen antarabangsa, yang juga akan mengekang kemampuan WHO membantu negara-negara membangun.

Pada hakikatnya, pengamal unilateralisme itu telah lama menunjukkan niat untuk berhenti menyalurkan dana kepada WHO. Setakat hujung Februari tahun ini, Washington berhutang lebih 70% daripada bayaran bagi tahun 2019 kepada agensi kesihatan tersebut, dan tunggakan yang perlu dibayar sebelum 1 Januari 2020 masih belum dijelaskan seluruhnya. Laman berita Politico mendedahkan, seawal pertengahan Februari lagi bajet fiskal 2021 Rumah Putih telah mengarahkan Kongres memotong lebih separuh dana yang sepatutnya diuntukkan kepada WHO.

Oleh sebab itulah, ramai penganalisis mengatakan tuduhan bahawa “WHO gagal menangani epidemik dengan cekap” hanyalah alasan untuk kerajaan AS lari daripada hutangnya. Langkah tersebut sama dengan tindakannya menarik diri daripada UNESCO supaya tidak perlu membayar hutang berjumlah USD500 juta (RM2.16 bilion) lebih dua tahun lalu.

高蕾