Apa yang Didedahkan Kritikan terhadap Media?

2020-04-16 14:31:22  CRI
Share with:

Nampaknya sudah menjadi satu kecenderungan untuk pemimpin AS mengelak daripada soalan wartawan dan membalas pertanyaan mereka dengan kecaman keras.

Terbaharu, Paula Reid dari Sistem Penyiaran Columbia (CBS) yang diperlakukan sebegitu semasa sidang media Rumah Putih pada 13 April, selepas meminta penjelasan tentang tindakan yang diambil Washington pada sepanjang Februari bagi menghadapi wabak COVID-19.

Sebelum ini, The New York Times melaporkan satu dapatan penyelidikan genetik yang menunjukkan kebanyakan kes positif di New York asalnya dari Eropah. Menurut pandangan lebih sepuluh pakar yang dipetik dalam artikel berkenaan, AS sepatutnya boleh mengesan kemunculan virus COVID-19 dengan lebih awal jika pemeriksaan telah dijalankan secara aktif. Rencana itu bagaimanapun dikritik kerana dikatakan tidak berlandaskan sumber yang boleh dipercayai.

Pada 8 April, hari lalu lintas di Wuhan dibuka semula, Voice of America (VOA) menyifatkan langkah-langkah yang diambil kerajaan China di bandar tersebut sebagai “model” yang memungkinkan keberhasilan pencegahan dan kawalan wabak. Susulan itu, Rumah Putih menuduh VOA menyebarkan “propaganda China” dengan menggunakan duit rakyat AS.

CNN, NBC dan Fox News juga tidak terlepas daripada selaran pemimpin AS. Di mata Rumah Putih, cuma kata-kata mengkritik China yang dianggap pelaporan fakta, sedangkan yang positif semuanya dipandang sebagai propaganda.

Umum mengetahui bahawa sejak pandemik tercetus, “berita palsu” telah menjadi label yang paling kerap digunakan Rumah Putih terhadap media tempatan. The Washington Post terang-terangan menyatakan kerajaan semasa AS telah memberi definisi baharu terhadap ungkapan tersebut, iaitu mana-mana “laporan yang tepat tetapi merosakkan imej pemimpin”.

Baru-baru ini, The Washington Post dan The New York Times masing-masing menyiarkan laporan kewartawanan siasatan yang menilai situasi pencegahan dan kawalan wabak di AS. Mereka mempersalahkan ketidakcekapan respons Washington atas keadaan wabak yang tidak terkawal di dalam negeri. Sepertimana yang ditegaskan penganalisis, laporan yang dibuat sesetengah media tempatan telah mengganggu percubaan kerajaan untuk mengambinghitamkan negara lain, bahkan mendedahkan pembohongan bahawa “virus COVID-19 berasal dari China”. Perbuatan yang dianggap Washington amat menyinggung, sudah tentu dibalas dengan hujan kritikan.

Keadaan di AS tampak semakin teruk ketika ini, apabila jumlah kes jangkitan dilaporkan melebihi 600,000 dengan 26,003 maut setakat pukul 11.00 pagi semalam waktu Beijing.

高蕾