Pembukaan Semula Wuhan Suntik Keyakinan

2020-04-17 14:43:00  CRI
Share with:

图片默认标题_fororder_whhf

Dari manakah datangnya keyakinan China untuk merealisasikan matlamat pembangunan sosioekonomi negara pada tahun ini?

Wuhan yang baru dibuka semula lebih seminggu lalu selepas tamat perintah berkurung, memberi jawapannya yang tersendiri.

Selaku pusat kegiatan ekonomi di bahagian tengah China, Wuhan merekodkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KNDK) kelapan terbesar bagi mana-mana bandar di seluruh negara pada tahun lepas. Kota ini juga bergelar hab penting bagi industri pengeluaran automobil China, dan memiliki pangkalan industri maklumat elektronik paling intensif di dunia.

Dari segi lokasi pula, begitu banyak bandar utama di China terletak dalam lingkungan 1,000 kilometer dari Wuhan. Pembukaan semula lalu lintas di metropolis tersebut akan membantu jaringan pengangkutan pulih normal, malah kondusif bagi menyambung kembali kegiatan pengeluaran seluruh negara.

图片默认标题_fororder_whhf2

Penggunaan yang telah menjadi penjana utama ekonomi China selama enam tahun berturut-turut, mempunyai perkaitan langsung dengan prestasi ekonomi negara. Bagaimana meminimumkan impak wabak COVID-19 terhadap penggunaan dan perkhidmatan berkenaan kini menjadi tumpuan.

Sejak 30 Mac, kebanyakan pusat beli-belah di Wuhan sudah dibuka semula. Kerajaan tempatan juga telah memperkenalkan beberapa langkah untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana. Ini termasuk memberi pengurangan cukai, selain sokongan dalam aspek kewangan dan pekerjaan.

Pendekatan yang diambil oleh Wuhan boleh dikatakan satu gambaran tentang keadaan di seluruh China, yang menyaksikan syarikat bertungkus lumus “menyelamatkan diri” dengan bantuan dari luar.

Pada tahun-tahun kebelakangan ini, China menyumbang hampir 30% kepada pertumbuhan ekonomi dunia. China yang lebih dahulu mengawal wabak dan memulihkan pengeluaran, pasti akan membantu usaha global melawan COVID-19 dan menstabilkan rantai industri.

Seperti yang ditekankan Presiden Xi Jinping ketika menghubungi rakan sejawatnya dari Finland baru-baru ini, China mengutamakan usaha memulihkan dan melipatgandakan kapasiti pengeluaran barangan anti-wabak, memelihara kemapanan rantai bekalan global, di samping menyumbang kepada kerjasama antarabangsa memerangi wabak dan menstabilkan ekonomi sejagat.

高蕾