China Perkasa Kerjasama Bendung COVID-19

2020-06-24 15:16:36  CRI
Share with:

Sidang kemuncak khas China-Afrika, telesidang peringkat tinggi kerjasama antarabangsa Jalur dan Laluan, serta sidang kemuncak China-Kesatuan Eropah (EU) ke-22 antara acara multilateral kebelakangan ini yang telah membulatkan konsensus dan menyatukan usaha sejagat bagi membendung pandemik COVID-19.

Pada malam 22 Jun, Presiden China, Xi Jinping mengadakan pertemuan secara maya dengan Presiden Majlis Eropah, Charles Michel dan Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen. Berlatarbelakangkan keadaan semasa dunia, pertemuan tersebut menyemarakkan semangat masyarakat antarabangsa untuk bekerjasama melawan wabak.

Xi dalam telesidang tersebut berkata, kedamaian sentiasa menjadi pegangan China, bukannya hegemoni. China membawa peluang, bukannya ancaman, dan China ialah rakan kongsi, bukannya pesaing. China komited bersama-sama negara-negara Eropah melonjakkan hubungan ke arah yang lebih stabil dan matang.

Sebelum itu, Xi dalam ucapannya semasa sidang kemuncak khas China-Afrika mengenai COVID-19 pada 17 Jun, menyifatkan perpaduan dan kerjasama sebagai senjata paling kuat bagi menewaskan wabak.

Dalam telesidang peringkat tinggi kerjasama antarabangsa Jalur dan Laluan sehari kemudian, Xi dalam satu ucapan bertulis menyatakan nasib semua negara saling berkait rapat dan umat manusia merupakan sebuah komuniti yang berkongsi nasib.

Sama ada ketika hendak menangani wabak ataupun memulihkan ekonomi, jalan yang perlu ditempuh ialah yang disinari kerjasama dan multilateralisme.

徐国玮