Canton Fair ke-127 Labuh Tirai

2020-06-26 13:32:09  CRI
Share with:

Pameran Import dan Eksport China (Canton Fair) ke-127 yang berlangsung 10 hari secara dalam talian melabuhkan tirainya kelmarin.

Ini kali pertama Canton Fair diadakan secara maya dalam masa lebih 60 tahun. Hampir 26 ribu syarikat dari 217 negara dan wilayah mengambil bahagian, mempertontonkan kira-kira 1.8 juta komoditi.


Pameran maya yang berlangsung dengan jayanya ini memberikan isyarat positif bahawa China akan teguh memperluas keterbukaannya, selain menunjukkan tekad negara ini untuk memelihara keselamatan rantai industri dan bekalan global hingga merangsang keyakinan pasaran.

Pembeli yang menyertai ekspo kali ini berasal dari pelbagai negara, sesuatu yang dianggap cukup penting dalam konteks ekonomi dunia meleset sedangkan perdagangan dan pelaburan antarabangsa menguncup.

Menurut laporan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WHO), dagangan barangan global menurun 3% pada suku pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas. Kadar ini diunjur mencatat 18.5% pada suku kedua. Jelaslah, Canton Fair dapat menjadi pemangkin bagi menggerakkan ekonomi dan perdagangan sejagat.

Ekspo kali ini menggunakan teknologi digital untuk mempamerkan hasil terbaharu syarikat domestik dan asing melalui platform awan. Teknologi 5G, kecerdasan buatan (AI), data besar dan perkomputeran awan memberikan sokongan kepada keterbukaan bertahap lebih tinggi. Dalam pada itu, jualan dalam talian secara serentak menerusi foto, video, 3D dan realiti maya (VR) turut dipuji ramai.

Untuk memudahkan peserta mengikat kerjasama, China telah memperkenalkan beberapa langkah dari segi perlindungan harta intelek, perkhidmatan kewangan, pelepasan kastam dan pertukaran warga.

Pada pertengahan bulan ini, kastam China melancarkan projek rintis penyeliaan eksport perniagaan kepada perniagaan (B2B) dalam e-dagang rentas sempadan di 10 tempat termasuk Beijing, Tianjin dan Guangzhou. Mod baharu tersebut akan mempermudah prosedur pelepasan bagi barang-barang yang dijual beli menerusi Canton Fair.

Ekspo kali ini menyaksikan penglibatan semakin banyak negara Jalur dan Laluan, dengan kadar penyertaan yang mencatat 72%. Kemapanan perdagangan luar China, negara pedagang komoditi terbesar di dunia, penting peranannya bagi kestabilan ekonomi dan perdagangan sejagat.

覃淼